Risalah Perpisahan dari Si Anak buat Si Ayah, Dr Muhammad Imarah.


Risalah Perpisahan dari Si Anak buat Si Ayah, Dr Muhammad Imarah.

Pada petang hari Jumaat bersamaan Rejab 1441 Hijrah, telah wafat ayahku yang merupakan tokoh pemikir Islam yang ulung serta anggota Kesatuan Kibar Al-Ulama Dr Muhammad Imarah.

Telah wafat ayahku rahimahullah, selepas menderitai tempoh kesakitan yang singkat iaitu tidak menjangkau tiga minggu.


Telah wafat ayahku rahimahullah dalam keadaan tenang, tanpa sebarang kesakitan atau penderitaan menyelubunginya. Beliau menyeru ibuku, serta seluruh anak-anaknya,cucu-cucunya dan mereka yang mengasihinya lalu berkata kepada setiap seorang mereka “Aku sayang padamu, dan aku redha denganmu”.

Telah wafat ayahku rahimahullah, dan sepanjang kesakitannya beliau sering menyebut “Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah”. Ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, terpancar senyuman keredhaannya.

Telah wafat ayahku rahimahullah, dan beliau berwasiat untuk menyempurnakan rencana-rencana pemikirannya serta penulisan dan penyelidikannya.

Telah wafat ayahku rahimahullah dalam keadaan beliau redha akan semua dan memaafkan semua hatta mereka yang pernah menzaliminya atau menyempitkan hidupnya. Beliau langsung tidak membawa sebarang dengki atau kebencian walau sekecil pun kepada sesiapa.

Telah wafat ayahku rahimahullah, dalam keadaan beliau mendoakan kebaikan untuk kami, dan bagi tiap manusia dengan kebaikan serta hidayah.

Telah wafat ayahku rahimahullah, dan terpancar cahaya yang penuh kecantikan di wajahnya.
Aku mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabatku, para doktor, para jururawat dan setiap yang membantu menjadikan kesakitan singkat yang dialami bapaku dapat ditempuhnya tanpa sebarang penderitaan sekaligus memelihara kehormatan serta beliau dapat berehat dan redha sebaiknya.

Disini aku mahu kongsikan sebahagian pesanan atau wasiat yang diberikan ayahku untuk para penuntut ilmu dan mereka yang menyayangi beliau :-

  1. Dirikanlah solat jenazah atau solat jenazah ghaib keatas ayahku dalam bilangan yang terbesar selagimana mampu, di tiap bandar mahupun di mana-mana negara.
  2. Ingatlah ayahku dengan mendoakan kebaikan untuknya dengan tulus ikhlas dari hati termasuklah dalam solat kamu.
  3. Sebarkanlah buah pemikiran Dr Muhammad Imarah kepada semua insan, pada tiap tempat samada dengan menyebarkan bukunya, artikelnya, syarahannya, videonya atau video suntingan singkat yang diambil dari program televisyen serta ucapannya. Sebarkanlah semua itu dalam internet, atau dalam penulisan, atau dalam bentuk audio, rakaman video hinggakan dalam perbualan harian kita.
  4. Beliau juga berwasiat agar kita bercerita dan mengenangkan Dr Muhammad Imarah beserta idea pemikirannya kepada mereka disekeliling kita dan kepada kenalan kita.



Beginilah caranya kita menghidupkan sirah perjalanan hidup ulama kita dan tokoh-tokoh mulia antara kita.

Beginilah cara kita berbakti kepada ayahku , moga Allah merahmatinya…Dr Muhammad Imarah.

Ayuhlah kita,…wahai saudaraku,rakanku, dan mereka yang menyayangi Dr Muhammad Imarah…

Ayuhlah kita menjadi anak yang berbakti, agar kita semua termasuk dalam golongan yang disebut Nabi saw “Anak soleh yang mendoakan kebaikan untuk ayah dan ibunya yang telah meninggal dunia”.

Terjemahan oleh Al-Rupawani.

Artikel asal dari FB anakanda Almarhum, Khaled Emara

Comments