Wahai Panglima Imaduddin Zanki, Wahai Sultan Nuruddin Zanki...lihatlah apa UAE telah buat kepada ummat..

 Wahai Panglima Imaduddin Zanki, Wahai Sultan Nuruddin Zanki...lihatlah apa UAE telah buat kepada ummat..


Melihat siri pengkhianatan UAE ini, menarik jiwaku untuk berkongsi sedikit tentang sosok hebat dua anak beranak ini..mereka adalah Imaduddin Zaki dan Sultan Nuruddin Zanki. Kedua-dua ayah dan anak ini adalah pendekar dan perwira Saljuk yang gah dan tangkas menentang tentera Salib yang telah meranah banyak tanah ummat Islam termasuk Baitul Muqaddas/Maqdis.

Imaduddin Az-Zanki jaguh dambaan dan kebanggaan Kerajaan Kesultanan Saljuk di era Sultan Mahmud As-Saljuki. Sultan Mahmud As-Saljuki melantik beliau untuk memerintah wilayah Mosul di Syam. Ketika menjawat jawatan penting itu, Imaduddin Az-Zanki seorang panglima jihad yang berani telah mengaturgerak angkatan mujahidin dari Iraq dan Syam sekaligus mengisytihar perang keatas suatu kawasan yang bernama Al-Raha. Al-Raha merupakan kubu terkuat di kawasan jajahan tentera Salib serta mempunyai kepentingan strategik dan logistik yang terbaik buat musuh.

Lalu dengan semangat juang yang tulus demi Tuhan, pada tanggal 6 Jamadil Akhir tahun 539 Hijrah, Panglima Imaduddin Az-Zanki berjaya menguasai Al-Raha dari cengakaman tentera Salib. Kejayaan inilah merupakan pintu pertama atau kemenangan pertama yang akan membuka peluang bagi generasi2 seterusnya untuk membebaskan Masjidil Aqsa dari puak Salib yang zalim.

Belum sempat, Imaduddin Zanki dapat meneruskan hasratnya membebaskan tanah suci kita, beliau syahid dibunuh oleh pihak musuh pada tanggal 541 Hijrah bertepatan dengan 1146 Masihi. Namun obor jihadnya berjaya diserahkan kepada anakandanya Al-Malik Al-Adil (Raja Yang Adil) Nuruddin Az-Zanki.

Nuruddin Az-Zanki menganggap dirinya diperintahkan Tuhan untuk mengembalikan baitul maqdis ke tangan Ummat Islam bahkan beliau menganggap memerdekakan tanah suci itu adalah ibadat paling agung untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pada 559 Hijrah, beliau berjaya menawan kubu Al-Harim yang merupakan antara kubu2 tentera Salib yang terkuat di belah Utara. Ramai tokoh2 pemimpin tentera Salib yang turut menjadi tawanan perang dek kejatuhan kubu ini, antaranya adalah Pemimpin2 tentera salib Antioch, Pendeta2 besar Rom, dan lain2. Jumlah tentera salib yang terkorban mencecah kira2 10 ribu, dan jumlah yang tertawan terlampau ramai dan tidak mampu dihitung. Kemudian pada tahun yang sama beliau menawan kota Baniyas dan beliau juga menguasai Mesir lantas dapat mengepung tentera Salib dari dua arah.

Pakar sejarah iaitu Linburn mengatakan "Panglima perang Nuruddin Az-Zanki iaitu Solahuddin Al-Ayyubi berjaya menguasai sungai Nil lantas telah melemahkan kekuatan tentera Salib hingga kehujung tanduk. Bahkan tentera Muslimin berjaya menguasai dua perlabuhan utama iaitu di Dimyat dan Iskandariyah sekaligus mereka berjaya merampas armada laut yang besar serta memutuskan tali bantuan antara tentera Salib di Mesir dengan bantuan mereka di Eropah"

Semasa hayat Sultan Nuruddin Az-Zanki, beliau berjaya mengusir kebanyakan tentera Salib dari tanah Palestin, namun impian besar beliau adalah untuk melihat tanah suci Al-Aqsa merdeka. Namun Taqdir menentukan, impian sucinya itu tidak dapat dilaksanakan semasa hayatnya kerana beliau dijemput pulang ke negeri abadi pada tahun 569 Hijrah bersamaan 1174 Masihi ketika umurnya 56 tahun. 

Berita kematiannya diibaratkan oleh pakar sejarah seperti panahan petir kepada telinga-telinga ummat Islam ketika itu.....perwira mereka telah wafat ketika tanah Al-Quds masih belum merdeka lagi!

Namun Impian ini akhirnya diteruskan oleh anak didiknya iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Solahuddin Al-Ayyubi...

Rujukan : Solahuddin Al-Ayyubi Al-Bathal An-Nasir lidinillah, oleh Maulana Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara

Peguam Syarie


Comments