Israk Mikraj : Dari Gelap Keratapan ke Cahaya Harapan

                             


                         

     Israk Mikraj : Dari Gelap Keratapan ke Cahaya Harapan


Tahun Kesedihan :-
 

Sebelum berlakunya anugerah Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad saw menghadapi suatu tahun yang penuh kepiluan dan kesedihan. Tahun tersebut dinamakan Tahun kesedihan kerana betapa pilu dan beratnya ujian kehilangan orang tersayang bagi Nabi Muhammad saw iaitu Abu Talib dan isteri baginda Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Abu Talib selaku bapa saudara serta pemimpin terbesar Mekah adalah sosok yang melindungi Nabi Muhammad saw dengan penuh kasih sayang. Ketika mana Abu Talib mengalami sakaratul maut, pemimpin-pemimpin besar Quraisy datang menziarahinya lalu mengugutnya “Adakah kamu benci akan agama bapa kamu Abdul Muttalib hingga tergamak kamu mahu keluar dari agama kamu?”. Manakala Nabi Muhammad saw cekal disisi bapa saudara tercinta sambil berkata “ Katakanlah wahai bapa saudaraku Tiada Tuhan melainkan Allah, nescaya aku menjadi saksi untukmu di hari Akhirat nanti” . Namun Abu Talib masih tetap dengan agama nenek moyangnya dan meninggal dunia atas aqidah itu.

Selepas kematian Abu Talib kira-kira dua bulan atau tiga hari, isteri tercinta Nabi Muhammad saw pula telah kembali ke rahmatullah pada bulan Ramadhan tahun 10 kenabian. Dengan wafatnya Khadijah yang menyusuli kewafatan Abu Talib maka bergandalah kesedihan yang menimpa Nabi Muhammad saw. Dua insan yang amat baginda cintai, yang telah menjadi suatu benteng melindungi Nabi dari derita dakwah telah meninggalkan baginda untuk kembali ke alam Baqa’. Abu Talib merupakan benteng luaran manakala Khadijah adalah benteng dalaman Nabi Muhammad saw.

Perjalanan ke Taif : Membina kekuatan baru

Oleh kerana tindak balas yang makin agresif oleh pihak Quraisy di Mekah terhadap dakwah Nabi Muhammad saw, maka baginda beralih perhatiannya ke Taif untuk mewujudkan suatu pusat dakwah yang baru serta memohon bantuan dari penduduknya. Hal ini kerana Taif merupakan tempat strategik yang ditatang minyak yang penuh oleh pemimpin Quraisy Mekah. Jika Nabi Muhammad saw berjaya berdakwah di Taif, maka baginda dapat memperoleh pengaruh yang besar dalam dakwah. Namun Ketika sampai sahaja di Taif, pemimpin-pemimpin besar Taif telah mengarahkan penduduk Taif untuk menghalau Nabi Muhammad saw dan anak angkatnya yang menemaninya iaitu Zaid bin Thabit. Anak-anak kecil Taif diarahkan untuk mengherdik Nabi bahkan penduduk Taif hingga tergamak untuk membaling batu kea rah tubuh badan Nabi saw hinga mengalir laju darah dari luka-luka yang menimpa baginda. Darah mengalir dengan banyak hingga memenuhi kasut baginda Nabi saw.

Akhirnya, baginda saw dan Zaid bin Thabit ra memasuki kebun milik Atabah dan Syaibah untuk berehat dan menumpang sebagai tempat perlindungan. Nabi saw yang penat dan dalam derita kesakitan akibat kecederaan-kecederaan yang menimpanya terpaksa berteduh dibawah pohon kurma sambil diperhatikan Atabah dan Syaibah dari jauh. Disebalik sakit dan derita yang dialami, Nabi kita Muhammad saw terus berdoa dengan penuh kesayuan dan harapan kepada Tuhan Yang Menyaksikan segala yang telah berlaku tadi :-

"Allahuma Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku, kekurangan daya upayaku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Tuhan pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan nasibku? Kepada orang jauhkah yang berwajah muram kepadaku atau kepada musuh yang akan menguasai diriku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli sebab sungguh luas kenikmatan yang Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung kepada nur wajah-Mu yang menyinari kegelapan dan kerana itu yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat dari kemurkaan-Mu dan yang akan Engkau timpakan kepadaku. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau ridha kepadaku. Dan, tiada daya upaya melainkan dengan kehendak-Mu."

Melihat keadaan Rasulullah saw itu yang penuh kesakitan, Atabah dan Syaibah menyuruh hamba mereka iaitu Adas untuk memberi anggur kepada baginda. Ketika mana Rasulullah saw mahu mengambil anggur itu, baginda pun menyebut “Bismillah” lalu hairan Adas seraya bertanya “Kata-kata ini tak pernah disebut orang sebelum ini”. Lalu Rasulullah saw bertanya “Kamu berasal dari mana wahai Adas?”dan apa agamamu?”

Adas menjawab “Aku seorang Nasrani yang berasal dari Niniwi”. Lalu baginda saw berkata “ itu adalah negeri halaman seorang yang soleh iaitu Yunus bin Matta”. Adas hairan lalu berkata “Bagaimana kamu boleh mengenali Yunus bin Matta?”. Nabi saw menjawab “itu adalah saudaraku, dan baginda adalah Nabi sepertiku”. Maka terus Adas menyembam ke bawah lalu mencium kepala, kedua tangan dan kaki baginda saw.

Kemudian Rasulullah saw pulang ke Mekah, dan apabila melalui Qarnul Manazil, berlakulah suatu peristiwa ajaib. Nabi Muhammad saw mengangkat kepalanya dan ternyata baginda berada dibawah suatu awan yang menaunginya lalu diatasnya ada Jibril Alaihissalam. Jibril memanggil baginda seraya berkata “Sesungguhnya Allah mendengar ucapan kaummu terhadapmu dan bantahan mereka keatasmu. Dan Allah telah mengutus kepadamu Malaikat penjaga gunung untuk kemu perintahkannya sesuai kehendakmu terhadap mereka”

Kemudian Malaikat penjaga gunung memanggil nabi Muhammad saw, lalu memberi salam kepada baginda seraya berkata, ‘Wahai Muhammad, apa yang kamu inginkan katakanlah. Jika kamu ingin aku akan timpakan kepada mereka dua gunung Akhsyab (niscaya akan aku lakukan).’

“Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Tidak (aku tidak ingin itu), akan tetapi aku berharap kepada Allah bahwa akan terlahir dari tulang sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah semata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”

Meskipun jasadnya masih sakit dan perit dengan luka dan cedera, meskipun jiwanya terpaksa bersabar menghadapi segala cela, namun sedikit pun baginda saw tidak mahu azab Allah ditimpakan ke atas ummatnya. Maka inilah kesedihan demi kesedihan yang menimpa Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.

Israk Mikraj (Perjalanan bermula):-

Hati Nabi dibersihkan lagi :-

Saat Nabi saw di Mekah atap rumah baginda terbuka, tiba-tiba datang Malaikat Jibril Alaihis Salam. Lalu beliau membelah dada baginda kemudian mencucinya dengan menggunakan air zamzam. Dibawanya pula bejana terbuat dari emas berisi hikmah dan iman, lalu dituangnya ke dalam dada Rasulullah saw dan menutupnya kembali

Pengembaraan bermula:-

Kemudian baginda telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keledai tetapi lebih kecil dari bighal. Ia merendahkan tubuhnya sehingga perut buraq tersebut mencapai hujungnya.

Baitul Maqdis, Para Nabi menanti kedatangan penerus legasi mereka:-

Baginda bersabda: “Maka aku segera menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis.” Baginda bersabda lagi: “Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Nabi Muhammad saw semasa di Baitul Maqdis menjadi imam solat bagi seluruh para Nabi dan Rasul, suatu anugerah yang besar sekali. Begitu besar penghormatan para Nabi dan Rasul kepada Utusan Allah yang terakhir selaku Penghulu Segala Nabi yang bernama Muhammad bin Abdullah saw.

Perjalanan diteruskan ….Rehlah Tujuh Petala Langit

Pengalaman di langit pertama

Setelah selesai solat baginda saw terus keluar, tiba-tiba baginda didatangi oleh Jibril dengan membawa semangkuk arak dan semangkuk susu. Dan baginda pun memilih susu. Lalu Jibril berkata, ‘Kamu telah memilih fitrah, jika kamu memilih arak nescaya sesatlah ummatmu’. Yakni bahawasanya Islam ini adalah agama yang bertunjangkan Fitrah kemanusiaan. Tuhan yang mencipta Fitrah semulajadi manusia, adalah juga yang menciptakan agama Islam ini yang berjaya memenuhi kesemua tuntutan Fitrah kemanusiaan.

Surah Ar-Rum Ayat 30

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,

Lalu Jibril membawa baginda naik ke langit. Ketika Jibril meminta agar dibukakan pintu, maka ditanyakan, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Ditanyakan lagi, ‘Siapa yang bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutus? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutus.’ Maka dibukalah pintu untuk mereka berdua dan diucapkan kepada Nabi Muhammad saw “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Lalu mereka berdua bertemu dengan Nabi Adam, dan Jibril berkata kepada Nabi saw “Inilah bapamu Adam, ucapkan lah salam kepadanya” Maka Nabi memberi salam kepadanya dan Nabi Adam menjawab salam itu. Beliau menyambut Nabi Muhammad saw serta mendoakan baginda dengan kebaikan serta mengucapkan “Selamat datang hai anakku yang Soleh serta Nabi yang Soleh”. Nabi Muhammad saw juga melihat disebelah kanan Nabi Adam ada sekumpulan ahli syurga, beliau tersenyum gembira melihat mereka, dan disebelah kirinya adalah ahli neraka lalu Nabi Adam menjadi sedih dan menangis.

Pengalaman di langit kedua

Lalu  Nabi Muhammad saw dibawa naik ke langit kedua. Jibril lalu meminta supaya dibukakan pintu. Lalu ditanyakan lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapa yang bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad.’ Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Malaikat penjaga pintu lantas mengucapkan “Selamat datang baginya dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Pintu pun dibukakan lalu mereka bertemu dengan Isa bin Maryam dan Yahya bin Zakaria. Jibril berkata “inilah Isa dan Yahya, ucapkanlah salam keatas mereka berdua”. Maka Nabi Isa dan Nabi Yahya menjawab salam dari Rasulullah saw seraya berkata “Selamat datang hai saudara kami yang Soleh dan juga seorang Nabi yang Soleh”. Mereka berdua menyambut Rasulullah saw dan mendoakan baginda dengan kebaikan.

Pengalaman di langit ketiga

Nabi Muhammad saw dibawa lagi naik ke langit ketiga. Jibril pun meminta supaya dibukakan pintu. Lalu ditanyakan, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan lalu malaikat penjaga pintu mengucapkan “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Mereka bertemu dengan Nabi Yusuf, ternyata Nabi Yusuf telah dikurniakan dengan kedudukan yang sangat tinggi. Lalu Jibril berkata “Ini adalah Yusuf, ucapkanlah salam kepadanya”. Nabi saw memberi salam kepada Nabi Yusuf yang menjawabnya dengan baik seraya mengucapkan “Selamat datang hai saudaraku yang Soleh dan juga seorang Nabi yang Soleh”. Beliau terus menyambut Nabi saw dan mendoakannya dengan kebaikan.

Pengalaman di langit keempat

Nabi Muhammad saw dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril pun meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan lalu Malaikat penjaga pintu mengucapkan “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Lalu Nabi saw bertemu dengan Nabi Idris dan Jibril berkata kepada Nabi saw “ini adalah Idris ucapkanlah salam kepadanya”. Nabi Idris membalas ucapan salam Nabi Muhammad saw seraya berkata “Selamat datang hai saudaraku yang Soleh dan juga  seorang Nabi yang Soleh”, beliau terus menyambut Nabi Muhammad saw dan mendoakan baginda dengan kebaikan.  Lalu Nabi saw menyebut firman Allah  ‘(Dan Kami telah mengangkatnya (Darjat Nabi Idris) ke tempat yang tinggi darjatnya) [Surah Maryam ayat 57]. 

Pengalaman di langit kelima

Nabi saw dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril lalu meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan lalu Malaikat penjaga pintu mengucapkan “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Mereka bertemu dengan Nabi Harun dan Jibril berkata “ini adalah Harun, ucapkanlah salam kepadanya”. Nabi saw memberi salam kepada Nabi Harun yang menjawab salam itu seraya berkata “Selamat datang bagi saudaraku yang Soleh merangkap Nabi yang Soleh”.  Beliau terus menyambut Nabi Muhammad saw dan mendoakannya dengan kebaikan.

Pengalaman di langit keenam

Nabi saw dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril lalu meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan lalu malaikat mengucapkan “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”.  Mereka bertemu dengan Nabi Musa lalu Jibril berkata “ini adalah Musa, ucapkanlah salam kepadanya”. Nabi Musa menjawab salam itu seraya berkata “Selamat datang bagi saudaraku yang Soleh merangkap Nabi yang Soleh”, beliau terus menyambutku dan mendoakannya dengan kebaikan. Setelah baginda meninggalkannya, maka Nabi Musa menangis lalu ditanyakan kepadanya mengapa beliau menangis? Lantas dijawabnya “Aku menangis kerana seorang muda yang diutuskan selepasku tetapi ummatnya masuk Syurga lebih ramai daripada ummatku”

Pengalaman di langit ketujuh

Nabi saw dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘Jibril menjawabnya, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah baginda telah diutuskan? ‘Jibril menjawab, ‘Ya, baginda telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan lalu Malaikat penjaga pintu mengucapkan “Selamat datang baginya, dan ini adalah sebaik-baik tetamu yang telah tiba”. Mereka bertemu dengan Nabi Ibrahim dan Jibril berkata “Inilah bapamu Ibrahim, ucapkanlah salam kepadanya”. Nabi Ibrahim menjawab salam Rasulullah saw lalu berkata “Selamat datang hai anakku yang Soleh merangkap Nabi yang Soleh”.

Sidratul Muntaha dan Anugerah Solat

Kemudian Nabi saw dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar seperti telinga gajah dan ternyata buahnya sebesar tempayan. Pohon itu diliputi dengan emas serta cahaya dan warna warni..bahkan berubah-ubah dan sukar untuk digambarkan keindahan dan kecantikan pohon agung ini. Baginda melihat empat sungai mengalir keluar yang berasal dari Pohon Sidratul Muntaha :- dua sungai zahir dan dua sungai batin.

Kemudian baginda saw ditunjukkan Baitul Makmur yang mana keluasannya setiap hari boleh memasukkan tujuh puluh ribu Malaikat. Setelah keluar, mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian baginda memasuki Syurga  dan kemudian baginda dinaikkan lagi hingga dapat mendengar bunyi Pena menulis.

Menghadap Tuhan Sekalian Alam

Lalu baginda diangkat lagi menghadap Allah Yang Maha Perkasa. Lalu hampirlah baginda dengan Allah seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir lagi. Allah memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Lalu baginda turun dan bertemu Nabi Musa Alaihissalam, dia bertanya, ‘Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: “Solat lima puluh waktu’. Nabi Musa berkata, ‘Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Baginda pernah berdakwah kepada Bani Israel dan menguji ketahanan mereka’. Nabi Muhammad saw bersabda: “Aku kembali kepada Tuhan seraya berkata, ‘Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku’. Lalu Allah subhanahu wata’ala. mengurangkan lima waktu solat dari beliau’. Lalu baginda kembali kepada Nabi Musa dan berkata, ‘Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku’. Nabi Musa berkata, ‘Umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi’. Baginda bersabda: “Aku masih saja berulang alik antara Tuhanku dan Nabi Musa, sehingga Allah berfirman: ‘Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan lima waktu sehari semalam. Setiap shalat fardu dilipatgandakan dengan sepuluh kali lipat. Maka itulah lima puluh solat fardu. Begitu juga barangsiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, niscaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya barangsiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak dicatat baginya sesuatu pun. Lalu jika dia mengerjakannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya’. Lalu Nabi Muhammad saw turun hingga sampai kepada Nabi Musa, lalu memberitahu kepadanya. Dia masih saja berkata, ‘Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan’. Baginda menjawab, ‘Aku terlalu banyak berulang-ulang kembali kepada Tuhanku, sehingga menyebabkanku malu kepada-Nya’.”


Peristiwa ngeri pengajaran buat Ummat :-

Semasa proses Mikraj di langit , Nabi Muhammad saw diperlihatkan akan sepintas lalu peristiwa  ngeri sebagai pengajaran buat Ummat ;

1.   Baginda melihat Malaikat penjaga Neraka iaitu Malik, beliau tidak ketawa dan tiada pada wajahnya tanda gembira mahupun riak kegirangan. Baginda juga dapat melihat Syurga dan Neraka.

2.   Baginda melihat orang yang di dunia mereka telah memakan harta anak yatim dengan zalim. Mereka mempunyai muncung seperti muncung unta. Mereka melemparkan ke dalam muncung mereka kepingan-kepingan neraka seperti batu halus lalu ia keluar dari dubur mereka.

3.    Baginda melihat pemakan-pemakan riba. Mereka mempunyai perut yang sangat besar lalu mereka tidak mampu bergerak dari tempat mereka dan sebesar rumah. Di dalam perut mereka terdapat banyak ular yang boleh dikesan dari luar perut mereka.

4.    Baginda melihat wanita-wanita yang masuk bertemu lelaki-lelaki yang bukan dari kalangan anak-anak mereka. Mereka digantung dengan buah dada mereka.

5.  Baginda melihat penzina-penzina yang memegang daging yang suci dan elok. Manakala disebelah mereka daging yang busuk dan jijik lalu mereka memakannya serta meninggalkan daging yang elok.

Ganjaran buat Mujahidin:-

Rasulullah saw juga melihat ganjaran buat mereka yang berjihad di jalan Allah dengan ikhlas. Nabi saw melalui satu kaum yang menanam dan menuai hasil dengan cepat sekali. Jibril berkata “mereka itu adalah para Mujahidin yang berjuang di jalan Allah, ganjaran mereka digandakan sebanyak 700 kali ganda dan apa sahaja yang mereka sumbangkan di jalan Allah nescaya akan diganti oleh Allah”

Cabaran setelah pulang :-

Ketikamana pengembaraan Nabi Muhammad saw tamat dan baginda selamat tiba ke Mekah, maka baginda digalas suatu tanggungjawab besar iaitu untuk memberitahu kepada kaumnya bahawa baginda telah mengembara dari Mekah ke Baitul Maqdis bahkan hingga ke tujuh petala langit selama satu malam sahaja. Semestinya ia tak logic dari sudut akal manusia, apatah lagi Musyrikin Mekah suka menimbulkan keraguan keatas dakwah Nabi.

Namun Nabi menjelaskan bukti terjadinya Israk dan Mikraj itu dengan memberitahu kaumnya bahawa semasa baginda dalam perjalanan pergi dan balik, baginda melihat rombongan dagang penduduk Mekah yang kehilangan unta mereka. Baginda minum air mereka dari bekas yang tertutup Ketika mereka sedang tidur kemudian baginda tinggalkan bekas itu tertutup semula. Baginda juga turut terlihat beberapa rombongan dagangan yang lain sambil menceritakan dengan terperinci ciri-ciri robongan itu, lalu kaum Quraisy bertanyakan hal demikian kepada rombongan-rombongan itu lalu didapati benar apa yang diceritakan Nabi. Nabi Muhammad saw juga mampu menceritakan keadaan Masjidil Aqsa dengan tepat kepada Kaum Quraisy untuk membuktikan kebenaran peristiwa agung itu. Namun meskipun Kafir Quraisy akur dengan apa yang diceritakan Nabi tetapi mereka masih menuduh Nabi Muhammad saw sebagai ahli sihir pula.

Pengajaran disebalik pengembaraan agung ini :

1.     Sebab dan pengajaran paling agung dan menyeluruh bagi perjalanan ini adalah untuk memperlihatkan kepada Nabi saw tanda Kebesaran Allah, dalam ayat 1 Surah Al-Isra’ yang mana Allah berfirman 

Surat Al-Isra' Ayat 1

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

“   Inilah Sunnatullah yang pernah dialami oleh para Nabi sebelum Nabi kita sepertimana yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-An’am ayat 75 “Dan demikianlah Kami menunjukkan kepada Ibrahim keagungan kerajaan-kerajaan langit dan bumi dan agar dia tergolong dalam kalangan orang yang yakin akan Keagungan Allah”. Maka apabila para Nabi telah melihat dengan sendiri keajaiban dan kebesaran tanda Allah maka bertambah teguh tekad mereka untuk meneruskan kerja Dakwah serta tidak gusar dan bimbang cabaran onak berduri di denai dakwah.

2.   Jika kita teliti Surah Al-Isra’, kita akan dapati hanya ayat 1 sahaja yang berkaitan dengan Israk dan Mikraj manakala ayat selepas itu membicarakan tentang kejahatan Yahudi serta memberi amaran kepada muslimin bahawa  Al-Quran ini memberi petunjuk kepada kebenaran. Maka boleh jadi ada yang menyangka tiada hubungan diantara ayat satu dan yang lain sedangkan bukan itu maksudnya. Hal yang sebenar adalah Allah Taala mahu menunjukkan kepada kita bahawa Isra’ itu berlaku dari Mekah ke Baitul Maqdis yakni Ummat Islam lah yang dipimpin Nabi Muhammad saw yang akan menggalas tugas kepimpinan kemanusiaan (Qiyadatul Ummah Al-Insaniyyah) kerana Yahudi telah lama meninggalkan tugas mulia ini disebabkan begitu banyak kemungkaran dan kefasadatan yang dilakukan mereka. Oleh yang demikian tiada lagi bagi Yahudi sebarang kelayakan untuk merangkul tugas memimpin ummat manusia kearah kebenaran. Maka tibalah masanya bagi tugas mulia ini untuk berpindah dari satu ummat kepada ummat yang lain, dari satu ummat yang penuh khianat dan tipu daya kepada Ummat yang penuh dengan kebaikan yang mencurah-curah.

Namun bagaimana tugas kepimpinan ini berhasil untuk dipindahkan ke tangan Rasulullah saw sedangkan baginda diusir dan dipulau oleh Musyrikin Mekah? Soalan ini menyingkap suatu hakikat lain bahawa pusingan perjuangan penyebaran risalah Dakwah ini bakal menemui pengakhirannya, dan akan mula satu pusingan dan kitaran baru dalam sejarah perjuangan Dakwah Nabi saw. Oleh yang demikian kita dapati sebahagian ayat dari Surah Al-Isra’ berbicara tentang peringatan dan amaran keras Allah Taala kepada puak musyrik.

“Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sebuah negeri, Kami akan menyuruh pembesar-pembesar dan pemimpin mereka untuk kembali taat, namun mereka enggan dan berbuat fasiq maka berhaklah negeri mereka itu dimusnahkan lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya”

“Dan berapa ramai ummat-ummat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nuh, dan cukuplah Tuhanmu Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat dosa-dosa hambaNya”

Ayat 16-17 Surah Al-Isra’ 

Dan disamping ayat-ayat di atas ada juga ayat Quran lain yang menerangkan prinsip-prinsip ketamadunan yang mana bakal diterapkan oleh masyarakat Islam pertama yang diasaskan Nabi Bersama para penduduk Madinah. Seolah-olah mempersiapkan mereka untuk beralih ke suatu fasa baru,membina sistem kemasyarakatan dan sebuah negara yang bersendikan ajaran Quran dan Sunnah. Oleh kerana itu, peristiwa Israk Mikraj ini hanya berlaku sebelum perjanjian Aqabah pertama atau antara Aqabah pertama dan kedua.

3.     Peristiwa ini menunjukkan kepada kita akan ikatan hubungan erat antara Masjidil Aqsa dan Tanah Suci Mekah. Ikatan ini menimbulkan suatu rasa dalam kalangan ummat Islam akan tanggungjawab mereka terhadap Masjidil Aqsa dalam misi memerdekakannya dari rentapan Zionis Israel. Selain itu tanggungjawab mereka juga untuk memerdekakan Tanah Suci Mekah dari dijajah pemerintah korup arab. Para sahabat sedar akan tanggungjawab suci ini, yang mana Ketika itu Masjidil Aqsa dibawah jajahan Kerajaan Rom, maka di zaman Khalifah Umar Al-Khattab telah memerdekakan tanah suci Baitul Maqdis. Semasa dibawah pemerintahannya, Masjidil Aqsa telah menikmati keamanan dan kesejahteraan hinggalah tentera Salib mencemarnya dan merentapnya. Namun Sultan Solahuddin Al-Ayyubi beserta pejuang-pejuangnya telah berjaya merampas kembali tanah suci itu.

 Kini Tanah Suci Al-Aqsa di dalam tawanan Zionis Israel laknatullah…ia masih memanggil Ummatnya untuk kembali kepadanya dan membebaskannya.

Sabda Nabi Muhammad saw

“Akan berterusan hingga akhir zaman satu kelompok dari ummatku yang cekal dengan kebenaran, keras terhadap musuh mereka, sesiapa yang memusuhi mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka melainkan kesukaran dan kepayahan yang menguji perjuangan mereka hingga datanglah bantuan Allah dan mereka masih setia dengan kebenaran”

Hadis Riwayat Ahmad

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie 

Rujukan :-

1.       As-Sirah An-Nabawiyyah : ‘Ardhun Waqaie wa Tahlil Ahdath Durus wa Ibar, Dr Ali Muhd Muhd As-Solabi, Darul Fajri Littturath

2.       Ar-Rahiq Al-Makhtum : Sheikh Sofiyurrahman Al-Mubarakpuri, Darul Wafa’ Littiba’ah Wan Nasyr

3.     Ar-Rahiq Al-Makhtum (Terjemahan Yadim)




Comments