Apabila Wafatnya Ibnu Taymiah



Apabila Wafatnya Ibnu Taymiah

Diriwayatkan oleh Sheikh Zainuddin Abdul Rahman adinda kepada Sheikh Ibnu Taymiah, menceritakan tentang keadaan kakandanya di penjara ketika waktu penghujung usianya:-
Sesungguhnya Ibnu Taymiah ketika mana beliau sedang bermula membaca al-Quran (sedangkan beliau sudah khatam sebanyak 80 kali) dan sampai ke ayat 54-55 Surah al-Qamar

 إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَهَرٍ (٥٤)فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِنْدَ مَلِيكٍ مُقْتَدِرٍ (٥٥)
"51. Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu."
"52. Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan."

Selepas itu, beliau terus meninggalkan aku (Sheikh Zainuddin dibenarkan oleh pihak penguasa untuk menjaga Ibnu Taymiah yang dalam keuzuran di penjara), dan bertadarus al-Quran dengan Sheikh Abdullah bin Muhib dan Abdullah Al-Azraie. Sheikh Ibnu Taymiah sangat suka akan bacaan mereka berdua dan keadaannya didalam penjara dalam penuh ketaqwaan dan kesolehan.

Apabila sampai berita keuzurannya kepada Gabenor Damsyik , lalu beliau terus meminta izin untuk menziarahi sheikh Ibnu Taymiah. Si Gabenor terus memohon kemaafan dari Sheikh Ibnu Taymiah andai ada kesilapan yang beliau pernah lakukan terhadapnya. Sheikh Ibnu Taymiah terus menjawab

“Sesungguhnya aku telah menghalalkan semua orang yang memusuhiku meskipun aku berada atas jalan kebenaran, dan aku halalkan juga Sultan Muazzam Al-Malik An-Nasr yang menyebabkan aku ke penjara ini, aku tahu dia lakukan ini semata-mata ikutan dan bukan atas kehendaknya, aku halalkan tiap insan yang pernah menyakitiku melainkan jika dia memusuhi Allah dan RasulNya.”

Dan berpanjanglah kesakitan yang dialami Sheikhul Islam Ibnu Taymiah selama tiga minggu hingga pulanglah beliau kepada Sang Pencipta pada malam ke 22 bulan Zulkaedah tahun 728 Hijrah ketika itu umurnya 67 tahun.

Lalu Muazzin penjara terus mengumumkan kematian Ibnu Taymiah di menara, dan berbicaralah pengawal-pengawal penjara tentang peristiwa besar ini yang telah merebak khabar ini ke seluruh manusia. Berpusu-pusulah manusia ke kubu penjara untuk memberi penghormatan terakhir buat sang imam. Manusia bersesak-sesak mahu mencium kepala Sheikhul Islam.

Maka para penziarah gigih mengkhatamkan al-Quran sebelum jasadnya dimandikan, dan kaum muslimat dibenarkan menziarahi jenazahnya selepas kaum muslimin selesai menziarahinya. Betapa ramainya kuam muslimin mahu memandikan jasadnya kaku terbujur.

Solat jenazah dilakukan buat pertama kali di kawasan penjara yang diimamkan oleh Sheikh Muhammad bin Tamam, selepas itu jenazahnya dibawa keluar untuk dikebumikan. Berasaklah manusia memenuhi jalan antara penjara dan penjara serta masjid serta mengambil masa yang lama bagi jenazah itu untuk tiba ke masjid. Para tentera dikerahkan untuk mengawal jenazahnya kerana kawasan sudah menjadi sangat sesak dengan kehadiran kaum muslimin dan muslimat yang terkesan dengan pemergian imam ulung dan kesayangan mereka. Ditengah kesesakan itu, berteriaklah seorang muslim

“Inillah keadaan yang berlaku apabila Imam dan Pejuang Sunnah wafat!!”

Lalu bertambahlan kesedihan manusia dan menangis teresak-esak mengenangkan tiada lagi pembela mereka, tiada lagi alim Rabbani yang gigih memperjuangkan nasib mereka!

Sekali lagi disolatkan jenazah keatas sheikhul Islam Ibnu Taymiah sejurus selepas solat Zohor di Masjid Jami’ Umawi, dalam masa yang sama bilangan manusia semakin bertambah-tambah hingga sesak ruang legar, kaki lima, lorong-lorong, pasar-pasar yang penuh dengan mereka yang mahu memberi penghormatan terakhir buat Sang Imam. Pasar-pasar perniagaan ditutup beserta kedai makan, oleh yang demikian ramai orang berniat puasa kerana kesibukan mereka untuk melihat jenazah ibnu taymiah dan mendoakan untuknya.

Disebabkan kesesakan yang begitu padat, jenazah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah terpaksa dipikul atas kepala para penziarah kerana sesaknya jalan dengan manusia. Suara kesedihan dan tangisan semakin meninggi serta doa-doa dipanjatkan kepada Tuhan agar merahmati roh sheikhul Islam mereka. Sebahagian mereka meletakkan serban, kain serta baju mereka di atas keranda sheikh. Manusia berbondong-bondong mahu melihat jenazah sheikh hingga kasut-kasut yang dipakai mereka ada yangtercabut, serta kain serban terlucut dari kepala namun mereka tidak mempedulikannya kerana perkara lebih penting telah melanda….Imam mereka yang dikasihi telah WAFAT.

Ketika jenazah itu tiba ke perkarangan Pasar Al-Khail, telah berganda bilangan penziarah lalu jenazah itu diletakkan di situ untuk disolatkan jenazah yang diimamkan oleh saudaranya Zainuddin Abdul Rahman. Kemudian jenazah Ibnu Taymiah dibawa ke Tanah Perkuburan As-Sufiah (dimana ditanamnya beberapa ulama hebat dan ulung seperti Ibnus Solah, Ibnul Athir, Abul Hijaj Al-Maziy, Al-Hafiz Imaduddin ibn Kathir). Jenazah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah dikebumikan di sebelah saudaranya Sheikh Syarafuddin Abdillah, moga Allah merahmati mereka berdua.

Pengebumian itu dilakukan sebelum waktu Asar hampir tiba. Kelewatan ini berlaku kerana terlampau ramai orang datang melakukan solat jenazah keatasnya. Tiada insan yang gagal menghadirkan diri untuk memberi penghormatan terakhir melainkan dia mempunyai keuzuran. Dianggarkan bilangan muslimin yang hadir antara 60 000 hingga 100 000 manakala kaum muslimat pula sebanyak 15 000 tanpa dikirakan bilangan wanita yang melihat dan menyaksikan peristiwa sedih itu di atas bumbung rumah dan bangunan berdekatan. Tidak pernah Kota Damsyik menyaksikan fenomena ini, bahkan dalam sejarah Umayyah yang mana Damsyik merupakan Ibu Kota Khilafah.

Solat Ghaib juga diadakan di kebanyakan wilayah negara Islam ketika itu, hinggakan di hujung Selatan dan Timur. Ibnu Rejab juga melaporkan di Tabaqat Al-Hanabilah :-

“Solat Jenazah diadakan untuk Sheikhul Islam Ibnu Taymiah di kebanyakan wilayah di negara Islam samada dekat mahupun jauh hinggakan di Yaman dan China. Para musafir juga telah memberitahu bahawa di tempat permusafiran mereka seperti di hujung negara China, pengumuman dibuat untuk diadakan solat jenazah Ghaib buat Sheikhul Islam Ibnu Taymiah pada hari Jumaat. Pengumuman itu berbunyi “Solat ghaib dibuat untuk Turjumanil Quran (Seorang Ulama yang menterjemahkan Kitabullah dalam kehidupannya)”

Begitulah pengakhiran yang sangat indah buat Sheikhul Islam Ahmad Taqiyyuddin ibnu Taymiah yang hidupnya dipenuhi mehnah dan dugaan yang dahsyat. Gigih melawan Monggol,pemerintah zalim, ulama pengampu serta kelompok sesat yang hidup semasa hayatnya. Beliau dipenjara beberapa kali kerana istiqamah atas jalan kebenaran, hingga pihak musuh merasakan hanya penjara sahaja mampu mendiamkan api kebenaran. Namun Tuhan tidak pernah mensia-siakan tenteraNya yang ikhlas, lalu Dia Yang Maha Pemurah menganugerahkan pengakhiran yang tercantik buat pejuangNya. Siapa yang sangka, banduan ini di akhir hayatnya dipenjara, namun dikebumikan mengalahkan semua raja dunia. Bayangkan ratusan ribu doa yang diiringi tangisan luhur memayungi perjalanan terakhir sang imam di bumi ini.

Tenanglah wahai Imam kami di taman Ilahi, tenanglah kamu kerana kamu berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawabmu di dunia ini. Akhirnya Tuhan memanggilmu pulang disaat musuhmu mahukan kamu terus menderita, namamu kini masih didendang dan pahalamu masih berjalan selagimana karyamu dan jasamu dikaji dan dikenang, adapun musuhmu, tiada siapa yang kenang dan ingati……Moga Allah merahmati Imam serta Pejuang Ahlus Sunnah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah.

مِّنَ المُؤمِنينَ رِجالٌ صَدَقوا ما عٰهَدُوا اللهَ عَلَيهِ ۖ فَمِنهُم مَّن قَضىٰ نَحبَهُ وَمِنهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَما بَدَّلوا تَبديلًا
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah janjinya kepada Allah. (Al-Ahzab ayat 23)

 *Peristiwa ini direkodkan sendiri oleh anak murid ibnu Taymiah iaitu Ibnu Kathir yang menukilkan dari riwayat Sheikh Ilmuddin Al-Barzali yang merupakan ulama sezaman dengan Ibnu Taymiah dan juga teman pengajiannya. Sila rujuk Al-Bidayah Wa An-Nihayah
*Coretan dan terjemahan dari kitab Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam karya Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi rahimahumullah.

Comments