Beramal Tapi Sia-Sia : Punca dan Solusi


Beramal Tapi Sia-Sia : Punca dan Solusi
Nukilan : Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Al-Imam Al-Fudhail bin Iyadh pernah ditanya apakah amalan yang paling ikhlas dan paling diterima? Lalu menjawablah Sang Imam yang alim

“Amal itu jika ia ikhlas semata-mata dan tidak betul amalan itu maka tidak akan diterima, dan jika amalan itu tepat namun tidak ikhlas tidak juga akan diterima hinggalah yang sebenarnya itu adalah amalan yang betul dan ikhlas. Ikhlas itu semata-mata kerana Allah, dan amalan yang tepat dan benar itu adalah mengikuti Sunnah Rasulullah saw, kemudian beliau membaca ayat

“barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan TuhanNya, maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan Allah dengan apa pun” (Al-Kahfi : 110)



Jelaslah disini, Imam Al-Fudhail bin Iyadh telah menjawab tajuk yang kita bincangkan ini, dua elemen yang penting lagi asas ini jika tiada maka hanya menjadikan diri kita penat semata-mata dan tiada hasil dari amalan kita. Dua elemen itu adalah Ikhlas kerana Allah dan amalan itu betul dan tepat dari sudut prosedur dan rukunnya. Pesanan ini terbina dari ayat al-Quran :-
وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا (23)
Dan kami persembahkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu debu yang berterbangan. (Surah Al-Furqan ayat 23)

Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa tiap amal yang dikerjakan perlu ada pada Ikhlas dan menepati Syariat Tuhan. Tiada salah satu daripadanya maka amal itu menjadi batil dan tiada makna.

IKHLAS
Elemen pertama adalah ikhlas. Untuk mendalami makna ikhlas, wajiblah kita menelusuri petunjuk Tuhan di dalam Al-Quran
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus. (Surah Al-Bayyinah ayat 5)

Buya Hamka didalam tafsirnya menyatakan
“Segala amal dan ibadat, pendeknya segala apa juapun perbuatan yang bersangkutan dengan agama, yang dikerjakan degan kesedaran hendaklah ikhlas kerana Allah belaka, bersih daripada pengaruh lain. Itulah yang dinamakan sebagai agama hanif yakni condong kepada kebenaran laksana jarum kompas yang sentiasa menunjuk kearah Utara, begitulah perihalnya kita dengan agama ini, kita hendaklah sentiasa condong kearah kebenaran dan kebaikan.”

Bahkan Buya Hamka menyatakan lagi “Tidaklah mereka itu dijatuhi perintah melainkan dengan segala yang telah dihuraikan tadi iaitu menyembah Allah, ikhlas dalam beramal, condong kepada kebaikan, solat dan zakat, inilah dia inti agama, itulah yang dibawa para nabi.”

Oleh yang demikian, para ulama menyatakan , apabila seseorang itu melakukan amal tanpa ikhlas, maka ibarat dia telah melakukan syirik kepada Allah! Hal ini kerana dia melakukan bukan untuk mencari redha Tuhan, sebaliknya mahu mendapatkan redha manusia sedangkan manusia itu bukan penciptanya dan bukan yang berkuasa keatasnya!

Al-Imam An-Nawawi pernah melalui satu fasa pergelutan rohani, dimana beliau berkata “Selama dua belas tahun aku menjadi tukang besi bagi jiwaku, selama lima tahun aku menjadi cermin bagi diriku, dan selama setahun aku melihat kembali jiwaku lalu aku terlihat satu ikatan kesesatan yang mengikatku, lalu aku bekerja selama lima tahun untuk membuangnya, selepas itu menjadi jelas kepada ku ketika mana aku melihat kepada manusia, aku melihat mereka seperti mayat lantas aku mengangkat takbir empat kali”
Apa yang dimaksudkan oleh Imam Nawawi disini tidakl boleh difahami secara literal atau zahir, beliau bermaksud selama bertahun-tahun beliau cuba memperbaiki jiwanya, hingga akhirnya beliau berhasil menumbangkan penyakit rohani yang membungkam dirinya, dia melihat bahawa manusia ini hakikatnya tiada makna dan tiada faedah dan mudarat kepada kita. Hal ini kerana mereka dan kita semuanya makhluk Allah, yang bergantung semata-mata kepada Allah, maka mengapa kita mahu beramal dan berpenatan dalam mengerjakan kebaikan dengan mengharap manfaat manusia? Sedangkan mereka juga bergantung kepada ALLAH? Sudahnya, benarlah kata Al-Imam Nawawi kita semua mayat hidup , apa guna beramal kerana manusia! Teruslah beramal kerana TUHANMU hai Manusia yang leka!

Maka, apa maksud ikhlas?

Al-Imam Abul Qasim Al-Qusyairi berkata “Menjadikan Allah itu tujuan utama dalam usaha mendekatkan diri kepadaNya tanpa mengharapkan redha makhluk atau mengharapkan pujian mereka, atau kecintaan kepada pujian mereka, oleh itu bolehlah dikatakan ikhlas itu adalah menyucikan aqal dari mengutamakan pandangan makhluk kecuali mengharapkan redha Tuhan semata-mata”.

Al-Imam Abu Uthman juga berkata “ikhlas itu melupakan pemerhatian makhluk dengan berterusan melihat PenciptaNya”

Cukuplah hadis Rasul saw mengajar kita tentang akibat tidak ikhlas kepada ALLAH
Rasulullah SAW mengisahkan tiga orang Muslim di hadapan mahkamah Allah SWT kelak. Hadis dari Abu Hurairah yang diriwayatkan  Imam Muslim, An-Nasa'i, Imam Ahmad dan Baihaqy ini meriwayatkan, ada seorang mujahid, seorang alim, dan seorang dermawan. Bukan surga yang diperoleh, justru neraka yang didapat ketiganya.

Orang pertama dipanggil menghadap Allah. Ia merupakan seorang pria yang mati syahid. Saat di hari perhitungan, Allah pun bertanya, “Apa yang telah kau perbuat dengan berbagai nikmat itu?” Mujahid itu menjawab, “Saya telah berperang karena-Mu sehingga saya mati syahid,” ujarnya.

Allah ta’ala pun menyangkalnya, “Kau telah berdusta. Kau berperang agar namamu disebut manusia sebagai orang yang pemberani. Dan ternyata kamu telah disebut-sebut demikian.” Mujahid  itu pun diseret wajahnya dan dilempar ke jahannam.

Orang kedua pun dipanggil. Ia merupakan seorang alim ulama yang mengajarkan Alquran pada manusia. Seperti orang pertama, Allah bertanya hal sama, “Apa yang telah engkau perbuat berbagai nikmat itu?”

Sang ulama menjawab, “Saya telah membaca, mempelajari dan mengajarkannya AlQuran kerana Engkau,” ujarnya. Allah berfirman, “Kamu berdusta. Kau mempelajari ilmu agar disebut sebagai seorang alim dan kau membaca Alquran agar kamu disebut sebagai seorang qari." Sang alim ulama pun menyusul si mujahid, masuk ke neraka.

Orang ketiga pun dipanggil. Kali ini ia merupakan seorang yang sangat dermawan. Sang dermawan dianugerahi Allah harta yang melimpah. Allah pun menanyakan tangung jawabnya atas nikmat itu, “Apa yang telah engkau perbuat dengan berbagai nikmatKu” firmanNya.

Sang dermawan menjawab, “Saya tidak pernah meninggalkan sedeqah dan infaq di jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata karena Engkau,” jawabnya.

Dia pun tak jauh beda dengan dua orang sebelumnya. “Kau berdusta,” firman Allah. “Kau melakukannya karena ingin disebut sebagai seorang dermawan. Dan begitulah yang dikatakan orang-orang tentang dirimu,” firmanNya.Sang dermawan yang riya ini pun diseret dan dilempar ke neraka, bergabung dengan dua temannya yang juga menyimpan sifat riya di hati.

Amal yang benar dan betul

Elemen yang kedua pula adalah amal yang tepat dan benar. Elemen ini menuntut kitauntuk mengisi diri kita dengan ilmu secara berterusan. Hal ini kerana tanpa ilmu, kita tidak akan mengerti adakah amalan kita ini benar , betul atau salah. Allah memberi peringatan kepada kita

“Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, karena takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, "Apakah sama orang-orang yang mengetahui  dengan orang-orang yang tidak mengetahuI?"Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar ayat 9)

Allah taala juga berfirman
“Sesungguhnya hanya yang takut kepada Allah itu adalah orang yang berilmu” (Fatir ayat 28)

“Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu serta orang yang menuntut ilmu beberapa darjat” (Al-Mujadalah ayat 11)

Hadis rasulullah saw juga tidak kurang dalam menekankan perihal ilmu :-

“Barangsiapa yang Allah mahukan dia kebaikan, maka Allah jadikan dia faqih dan berilmu dalam Agama” (Riwayat Bukhari)

“Kelebihan seorang alim keatas orang yang hanya rajin beribadah seperti kelebihanku keatas yang paling bawah diantara kamu” kemudian Rasulullah saw menyambung “ Sesungguhnya Allah, dan para MalaikatNya, dan makhluk yang berada di langit dan dibumi serta semut  di sarangnya dan ikan di lautan mendoakan kebaikan keatas orang yang mengajar kebaikan kepada manusia” (Riwayat tirmizi: Hadis Hasan)

“Dunia itu terlaknat beserta apa didalamnya, kecuali mengingati Allah serta perkara yang Allah cintai dan orang yang berilmu dan penuntut ilmu” (riwayat Tirmizi : Hadis Hasan)

Sahabat Nabi saw iaitu Sayyidina Ali bin Abi Talib juga berpesan

“Mengulangkaji ilmu selama beberapa masa adalah lebih baik dari Qiyamullail”

Nah, betapa besarnya fadhilat menuntut ilmu dan memperkuatkannya hingga terpacul kata-kata hikmat ini dari Khalifah Islam yang keempat Saidina Ali bin Abi Talid , Orang yang alim itu lebih besar ganjarannya dari orang yang berjihad dalam keadaan dia berpuasa serta kuat berqiyam.

Mengapa ilmu itu sangat penting hingga lebih hebat dari orang yang rajin beribadah? Jawapan ini dapat kita dapati dari pesanan Imam Nawawi yang berkata bahawa kesemua ulama salaf bersepakat bahawa menyibukkan diri dengan ilmu lebih baik dari sibuk dengan ibadat nawafil yakni sunat seperti solat, tasbih,puasa dan lain-lain. Hal ini kerana manfaat ilmu itu menyebar kepada seluruh makhluk manakala ibadah nawafil tadi hanya beri manfaat kepada diri pelakunya sahaja.

Betapa ramainya manusia yang sibuk beribadat dan beramal, namun kesemuanya salah dan tidak menepati syariat, betapa ramai orang yang melakukan perkara bidaah mungkar tapi menyangkakan ia menepati syariat Tuhan. Moga kita terpelihara dari kejahilan ini dengan berterusan mendalami ilmu.
Dengan ilmu yang sahih maka ibadat dan segala amal yang dilakukan menjadi sahih dan teratur, berbekal pula niat ikhlas suci kerana Allah, maka semestinya amal kita akan diterima Allah serta menjadi penyebab kita peroleh rahmat Allah!

PKPIM, PEMBIMBING, ABIM ,WADAH SEBAGAI SATU GERAKAN AMAL ISLAMI

Persatuan ini adalah satu gerakan dakwah islamiah yang komprehensif yang tertegak atas empat dasar yang penting,

“Aktivisme, Spiritualism, Intellectualism, Idealism”

Empat dasar ini tidak akan terhasil dan terlaksana jika tiada padanya dua eleman yang kita bahaskan sebelum ini iaitu IKHLAS dan AMAL YANG BETUL.
Gerakan kita adalah gerakan dakwah, dan menjadi seorang pendakwah bukan dengan memasuki program realiti tv semata-mata, sebaliknya pejuang dakwah perlu punya matlamat yang jelas, semangat kesukarelawanan yang tinggi, ilmu yang penuh di dada serta istiqamah menjaga hubungan dengan Sang Pencipta.

Seorang daie bukan hanya setakat suara sedap atau pandai berkata! Sebaliknya ilmu perlu sentiasa diperkemas serta punya kemahiran berfikiran kritis yang tinggi. Oleh yang demikian, menurut Dr Yusuf Al-Qaradawi, seorang aktivis dakwah perlu ada tiga senjata Iman, Akhlak, Ilmu.

Iman-Tanpa iman kepada Tuhan yang benar terpahat maka semestinya pemuda Ashabul Kahfi tidak akan berani bangkit menentang kesesatan Rajanya.
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Al-Kahfi ayat 13-14)
Akhlak-Dakwah menerusi akhlak yang mulia adalah senjata ampuh untuk menyebarkan mesej Islam. Rasulullah saw bersabda “ Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang terbaik terhadap isteri-isterinya.”*_ (HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Sahih

Ilmu- Dr Yusuf Al-Qaradawi menggariskan enam ilmu yang perlu dikuasai para daie
  1. Ilmu Agama
  2. Sejarah
  3. Ilmu Bahasa
  4. Ilmu Sosiologi
  5. Sains
  6. Realiti semasa

Konklusinya?

Beramallah wahai sahabat! Teruskan menuntut ilmu dan senantiasalah memperindahkan hubunganmu dengan Tuhanmu. Kita bimbang jika kita dibangkitkan di hari akhirat nanti lalu terkejut melihat amal kita yang kita penat kerjakan di dunia akhirnya menjadi debu yang berterbangan tiada nilai dan menjadi penyebab kita ke neraka.

Allah taala berfirman di dalam surah Al-Isra’ ayat 103-106

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan."

Comments