Muhajirin dan Ansar, golongan yang dirindui…Pengajaran Surah Al-Hasyr ayat 8-10


Muhajirin dan Ansar, golongan yang dirindui…Pengajaran Surah Al-Hasyr ayat 8-10


Ayat-ayat ini berkenaan dengan perihal pengorbanan dua kumpulan penting dalam dakwah Islam. Tidak tertegak dakwah Islam tanpa mereka ini, iaitu Muhajirin dan Ansar. Tuhan menjelaskan dengan begitu terperinci akan jasa pengorbanan mereka hingga ayat-ayat ini memberi sanjungan tinggi dari ilahi. Ayat-ayat Tuhan ini wajib diteliti dan ditadabburi kerana tanpa wujudnya Muhajirin yang menjadi pelarian dek kerana penindasan di tanah air mereka, dan sambutan Ansar yang mendepakan tangan mereka seluasnya kepada Muhajirin, nescaya kemungkinan besar dakwah Tauhid ini tidak menyapa ke semua benua termasuk kita.

Ayat 8 Al-Hasyr

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُون
“(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.”

Ayat ini menggambarkan dengan jelas ciri-ciri utama golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinaturasul. Mereka ini dihalau keluar secara zalim dari kampong halaman mereka yang tercinta. Kezaliman yang menimpa mereka tidak lain hanyalah dari kalangan kaum kerabat dan keluarga mereka sendiri di Mekah. Dosa mereka hanyalah kerana mengucapkan kalimah Tauhid, kendatipun mereka dihalau keluar meninggalkan harta benda mereka lalu digambbarkan oleh Allah taala sebagai fuqara’, sehelai sepinggang tidak mempunya apa-apa perkara materialistik pada diri mereka. Ada yang berangkat hanya dengan bungkusan kecil, ada yang berhijrah secara senyap kerana takut dihalangi keluarga, ada yang berpisah dengan anak,ayah, serta berpisah antara suami isteri. Semua ini hanya semata-mata “Kerana mengharapkan kurnia daripada Allah dan redhaNya”.  Mereka yakin Tuhan tidak akan mengecewakan mereka kerana hijrah itu demi pengharapan redha Tuhan. Meskipun mereka bilangan sedikit dan dihalau keluar, namun mereka istiqamah mahu menolong Allah dan RasulNya. “Mereka itulah orang yang benar” yakni mengucapkan kalimah Iman dengan lisan mereka, dan membenarkannya dengan amal mereka. Mereka itu insan terpilih oleh Allah taala yang membenarkanNya dan membenarkan RasulNya. Mereka teguh dan benar dengan mesej kebenaran, hinggakan mereka itulah gambaran kebenaran yang zahir atas muka bumi lalu dilihat manusia.

Ayat 9 Al-Hasyr

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung”

Ayat ini pula Allah swt menceritakan perihal pengorbanan kaum Ansar. Ciri-ciri ini hanya ada pada kaum ini sahaja dan disangka orang bahawa ini hanyalah imaginasi kerana tidak mungkin ada wujudnya golongan begini.  “Mereka ini menetap di Al-Dar (Madinah) dan tetap dengan keimanan” yakni mereka ini menetap di Madinah sebelum munculnya Muhajirin,merekalah orang tempatan yang menyambut saudara Muhajirin mereka. Tuhan juga menyebut kalimah Tabawwa’ dalam Iman, seolah-olah menunjukkan disamping Madinah adalah rumah kediaman mereka, keimanan yang tersemat dalam sanubari mereka adalah umpama mahligai atau kediaman mereka yang dicintai. Iman ini merupakan kediaman dan kampung halaman hati sanubari mereka, serta tempat yang memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada jiwa mereka yang kepenatan, seperti seorang insan yang pulang ke rumah dan semestinya mendapati ketenangan dirumahnya. Natijahnya, ini adalah gambaran yang diberi Tuhan Yang Maha Bijaksana betapa kuat dan berakarnya Iman Kaum Ansar.

“Mereka kasih kepada orang yang berhijrah kepada negeri mereka dan tidak mempunyai apa-apa hajat kepada perkara yang dikurniakan kepada muhajirin”, ertinya tidaklah ada rasa dengki atau iri hati kaum Ansar itu melihat Allah dan RasulNya memberi anugerah berlebih kepada saudara mereka kaum Muhajirin itu. Sayyid Qutb menyebutkan bahawa ada diriwayatkan bahawa apabila Muhajirin tiba di Madinah, begitu ramai Ansar yang mahu menawarkan bantuan dan membawanya tinggal dirumahnya sehingga terpaksa dilakukan undian. Hamka didalam Tafsir Azharnya menukilkan satu riwayat dari Abdurrahman bin Zaid bin Aslam, bahawa Rasulullah saw bersabda kepada para Ansar “ Saudara-saudara, mereka telah meninggalkan harta benda mereka dan anak-anak mereka dan datang menumpang kepada kalian”. Maka kaum Ansar menjawab “Harta benda kami ini kami beri sahaja kepada mereka. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi “ Bolehkah lebih lagi dari itu”…lalu Ansar memberi persetujuan “baik Ya Rasulullah”. Rasulullah saw kemudian menanyakan lagi “Saudara-saudara kamu tidak pandai bekerja (bertani),sudikah kalian bekerja untuk mereka, lalu hasil tanaman itu diberikan pula kepada mereka…lalu Ansar menjawab “Kami bersedia ya Rasulullah”.

“Mereka itu melebihkan kaum Muhajirin meskipun mereka juga dalam kesusahan”, ayat ini menerangkan budaya Ithar yang diamalkan kaum Ansar yang dipuji Allah taala. Ithar dalam saat kesusahan dan keperluan merupakan nilai yang paling tinggi. Nilai ini dicapai oleh Ansar dan tidak pernah dalam sejarah kemanusiaan  wujudnya kaum seperti ini. Sebenarnya, amalan Ansar ini telah merobek adat kebiasaan manusia, yang tidak punya contoh seperti mereka samada di zaman lampau atau moden.

“Dan barangsiapa yang terpelihara dari sifat kedekutnya maka merekalah orang yang memperoleh kejayaan”, hal ini kerana kedekut atau kebatilan ini adalah satu sifat pokok yang ada pada setiap orang. Hamka memberi satu analogi untuk memberi pemahaman tentang fenomena ini, misalnya jika seseorang melihat ada orang akan datang kerumahnya, dari jauh dia telah bertanya-tanya dalam hatinya rasa curiga kerana adakah orang itu datang untuk minta bantuan dan pertolongan. Hatinya tidak senang, padahal kalau orang itu disambutnya dengan baik lalu dilawannya perasaan tidak senang itu dan diberinya orang itu bantuan, nescaya dada mereka menjadi lapang. Sekaligus, orang yang berjaya menewaskan sifat kikir atau kedekut yang berakar dalam diri, “Maka orang inilah yang beroleh kemenangan”. Berkenaan hal kedekut atau kikir ini, Rasulullah saw pernah bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Muslim dan Imam Ahmad “Jauhilah olehmu perbuatan aniaya, kerana penganiayaan itu akan membawa kegelapan di hari kiamat kelak, dan peliharalah dirimu daripada pengaruh kikir. Kerana kikir itulah yang telah membinasakan mereka yang sebelum kamu, kikir itulah yang telah menyebabkan mereka menumpahkan darah dan memandang halal apa yang diharamkan bagi mereka”. Kikir atau kedekut inilah antara halangan utama dalam melakukan kebaikan. Seorang yang kedekut dan kikir mana mungkin dapat melakukan kebaikan kerana dia sibuk memikirkan untuk mengambil dan bukan untuk memberi. Maka mereka yang berjaya menewaskan halangan besar ini, maka dia telah berjaya dan menang.

Ayat 10 Al-Hasyr

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang".”

Mereka inilah golongan yang datang selepas Muhajirin dan Ansar. Ini menggambarkan ciri-ciri yang paling khusus atau teramat khusus bagi Ummat Muhammad secara mutlak pada tiap zaman dan tempat. Mereka yang terkemudian ini memacukan jiwa dan pengharapan mereka kepada Tuhan untuk memohon pengampunan bukan sahaja untuk diri mereka tapi untuk mereka yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka sejak dari zaman Anbiya lagi. Mereka juga memohon agar Tuhan melepaskan diri mereka dari belenggu kedengkian dan pengkhianatan keatas orang beriman yang lain kerana dengki adalah penyakit yang paling berbahaya bagi merusakkan jiwa. Sifat lembut mereka yang terkemudian ini lalu mengikat mereka semua yang beriman ini merentas masa dan tempat dengan ikatan Iman. Doa dan pengharapan ini ditemani perasaan kasih dan rindu dalam diri mereka kepada orang beriman yang terdahulu lalu mereka mengucapkan “Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Penyantun, Maha Penyayang”. Ayat ini dihujungi dengan menyebut dua sifat Allah yang sesuai dengan perasaan halus orang beriman, meskipun mereka datang jauh di belakang hari, namun mereka mempunyai harapan kepada Tuhan agar diberi kedudukan yang sangat dekat dengan Muhajirin dan Ansar dalam keimananan kepada Allah taala.

Maka dari nas-nas ini menjelaskan tabiat semulajadi Ummat Islam, wujudnya hubungan erat yang menghubungan golongan terawal ummat ini kepada yang terakhirnya. Hubungan ini terbentuk dalam solidariti, takaful, serta kasih sayang.  Perasaan yang bersendikan ikatan erat ini merentasi zaman, tempat, bangsa, dan nasab. Perasaan rindu dan kasih dalam ukhwah islamiyyah merentasi zaman dan tempat ini terbina dalam hati nurani orang beriman yang sentiasa menyala pada tiap kurun dan ketika. Maka seorang saudara beriman terkenangkan saudaranya yang beriman yang telah pergi sebelumnya meskipun tidak pernah bertemunya dan terpisah dengan jarak masa yang berabad lama. Lalu mereka yang datang kemudian meniti jalan mereka yang terdahulu dalam satu saf yang satu, serta dalam satu angkatan yang sama dibawah panji Tuhan , sama-sama merentas perjalanan jauh menuju ufuk yang jauh. Setiap generasi yang beriman ini saling berhubung antara satu sama lain dalam solidariti, dan kasih sayang.

Alangkah indahnya hadis Rasulullah saw ini dalam menggambarkan perihal ini seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:-
“Bahawasanya pada suatu ketika Nabi saw pergi ke kubur, lalu baginda mengucapkan “Assalamualaikum wahai isi kampung yang beriman, dan sesunggguhnya kami ini insya Allah akan menyusul kamu, inginlah aku untuk melihat saudara-saudara kita. Lalu para sahabat bertanya “ Ya Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudara engkau?”. Rasulullah saw menjawab “Bahkan kamu ini adalah sahabat-sahabatku, sedangkan saudara-saudara kita belumlah datang sekarang, aku akan menemui mereka di telaga al-Haudh (yakni telaga di akhirat untuk orang beriman)”

Inilah kafilah orang beriman yang terbina dari awal ummat hingga terakhirnya yang senantiasa mendoakan satu sama lain serta bergerak dalam satu saf menuju redha Tuhan mereka Yang Satu.

Moga Allah taala menyuburkan rasa rindu ini dalam jiwa kita.

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani
Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

        Rujukan 
  1. Asy-Syahid Sayyid Qutb, Fi Zilalil Quran, Dar Al-Syuruq, At-Tab’ah 2011 (cetakan 2011), Al-Mujallad Al-Sadis (Jilid 6), m/s 3526-3527.
  2. Prof Dr Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA), Tafsir Al-Azhar, Pustaka Panjimas, cetakan 1985, Surah Al-Hasyr Juzuk 28, m/s 60-64.


Comments