Imam-Imam yang menyokong gerakan Resistance



Imam-Imam yang menyokong gerakan Resistance

Di zaman khalifah dahulu, khalifah-Khalifah ketika itu sangat kejam dan tenggelam dengan harta rakyat, tak kiralah khalifah abbasiyah atau umawiyyah. Pengaruh dan kuasa khalifah sangatlah kuat hingga hampir sahaja susah untuk bangkit menentang kezaliman Yang berlaku melainkan orang itu mempunyai pengaruh Yang juga sama kuat atau hampir kuat dengan khalifah. Oleh kerana itu, hampir kesemua gerakan resistance terhadap khalifah adalah dari ahli bait Nabi Muhammad saw kerana nasab mereka Yang suci dan dihormati maka senang mendapat sokongan rakyat jelata.

Setelah gugur syahid cucunda Nabi saw iaitu Sayyidina Hussein bin Ali, bangkitlah cucunya Sayyidina Zaid bin Ali bin Hussein mengetuai gerakan resistance menentang Hisyam bin Abdul Malik Yang merupakan Khalifah Umawiyyah ketika itu. Imam Abu Hanifah menyokong gerakan resistance ini dan menyumbang 10 000 dirham untuk membantu perjuangan Sayyidina Zaid bahkan Imam Abu Hanifah memohon maaf kerana tidak dapat menyertai jihad itu. Namun, sayyidina Zaid telah dibunuh lalu disalib pada tahun 122 hijrah oleh askar Hisyam bin Abdul Malik.

Selepas syahidnya Zaid, bangkitlah Muhammad bin Abdullah bin Al-Hasan bin Al-Hasan bin Ali dari ahli bait Nabi saw mengetuai gerakan resistance di Madinah. Saudaranya iaitu Ibrahim pula mengetuai gerakan resistance di Kufah. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik adalah antara imam-imam Yang menyokong teguh perjuangan mereka. Bahkan imam Abu Hanifah juga menyokong secara terang terangan dan memberi sumbangan dana kepada gerakan resistance. Imam Abu Hanifah telah melarang panglima kepada Khalifah Al-Mansur dari menyerang gerakan ini dan menyebabkan Khalifah Al-Mansur berdendam dengan Imam Abu Hanifah ( Imam Abu Hanifah akhirnya diseksa dan dihumban penjara oleh Khalifah Al-Mansur kerana menolak jawatan Yang ditawarnya, akhirnya syahid sang Imam didalam penjara)

Diriwayatkan juga penduduk Madinah meminta fatwa dari Imam Malik tentang hukum menyertai perjuangan Muhammad bin Abdullah bin Al-Hasan bin Al-Hasan bin Ali, ...begini soalan mereka "Sesungguhnya kami rakyat telah memberi baiah kesetiaan kepada khalifah Abu Jaafar.. Bagaimana kami sertai gerakan muhammad? "

Lalu Imam Malik bin Anas berfatwa "sesungguhnya kamu memberi baiah dalam keadaan terpaksa, maka baiah ini tidak dikira! ". Maka bergegas penduduk Madinah menyertai gerakan resistance Sayyidina Muhammad bin Abdullah.

Namun akhirnya Sayyidina Muhammad bin Abdullah bin Al-Hasan bin Al-Hasan bin Ali telah gugur syahid pada 145 hijrah di Madinah pada bulan Ramadhan, dan Saudaranya Sayyidina Ibrahim juga syahid dibunuh pada bulan Zulkaedah pada tahun Yang sama.

Lalu Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi memberi ulasan tentang perjuangan ini :-

"Telah kita lihat menerusi sejarah ummat ini, usaha resistance Yang dimulakan namun cepat tewas dihadapan kekuatan khalifah Yang begitu gagah dan tersusun... Namun mereka ini yakni pejuang Yang bangkit melawan kerakusan khalifah ini telah mendirikan suatu menara cahaya bagi generasi-generasi akan datang, memberi pengajaran akan semangat Islam Yang tulus untuk membawa islah dan perubahan keatas kerosakan dan keburukan Yang berlaku disekeliling mereka. Mereka ini adalah warisan Islam Yang agung, dan Islam itu agung dengan adanya mereka, dan tinggalan mereka ini akan sentiasa menjadi mutiara berharga buat tiap generasi terkemudian, Yang menghubungkan antara pejuang dahulu dengan pejuang Yang akan datang iaitu dengan hubungan Iman dan keyakinan"


Surat Al-Ahzab Ayat 23
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang telah gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu giliran mereka dan mereka tidak merubah janji mereka kepada Allah"



Rujukan : Rijalul Fikri Wad dakwah fil Islam oleh Abul Hasan Ali An-Nadwi

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani
Peguambela & Peguamcara
Peguam Syarie

Comments