Apabila Umar Abdul Aziz terdiam kaku


Apabila Umar Abdul Aziz terdiam kaku

Sebelum Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, puak Khawarij telah lama bangkit menentang legitimasi kerajaan khilafah Bani Umawiyyah bermula dari peristiwa Tahkim antara Khalifah Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufiy
an di Sifin pada tahun 37 Hijrah. Penentangan mereka menjadi keras dan dahsyat apabila Bani Umawiyyah telah memonopoli jawatan khilafah bagi kaum kerabat mereka hingga menyebabkan banyak episod perperangan antara kedua-dua pihak.

Bahkan di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, puak Khawarij juga telah melakukan pemberontakan di wilayah utara Iraq dibawah pimpinan Syauzab dari bani Yashkar serta mempunyai bala tentera yang hebat.

Namun pada pertama kali dalam sejarah pertembungan di antara Khilafah Umawiyyah dan Khawarij, Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengumumkan dasar perdamaian dan rundingan dengan semua kumpulan pemberontak termasuk Muktazilah dan Khawarij. Kata-kata rundingan menjadi gantian dari hayunan pedang dan derupan kuda perang. Dasar ini diumumkan bukanlah bermaksud Khalifah Umar Abdul Aziz sudah lemah, sebaliknya beliau berpandangan bahawa Khawarij ada hak kebebasan untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kesalahan pemimpin. 

Umar Abdul Aziz telah mengutus surat kepada Syauzab yang berbunyi:-

“Telah sampai kepadaku berita bahawa engkau telah bangkit menzahirkan kemarahanmu demi Allah dan NabiNya, namun engkau bukanlah lebih layak untuk berbuat demikian dari aku ! Maka ayuh datang bertemuku untuk aku berhujah dengan kamu dalam perkara yang kamu tidak puas hati! Jika kebenaran di pihakku maka kamu hendaklah taat, jika kebenaran di pihakmu semestinya aku akan menyemak kembali urusan pentadbiranku!”

Oleh yang demikian, Syauzab telah menjawab cabaran Khalifah Umar Abdul Aziz dengan surat balasannya:-

“Sesungguhnya engkau telah berlaku adil kepada kami dengan memberi peluang ini!”.

Lalu diutusnya segerombolan wakil Khawarij ke ibu kota Khilafah Umawiyyah bersama-sama kelengkapan senjata mereka dan sejurus tiba di kota tersebut, mereka melantik dua perwakilan untuk bertemu Khalifah Umar Abdul Aziz. Mereka adalah Arabiy dan Mamzuj. Mereka dilantik mewakili Khawarij untuk berdebat dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz tentang perkara akar dalam soal kepimpinan. Hal ini kerana Khawarij berpendapat kepimpinan melalui tawaruth atau kepimpinan melalui anak beranak ini bukan dalam ajaran agama kerana pemimpin itu dilantik melalui Syura dan bukan kenasaban!

Lalu apabila mereka masuk menghadap Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka terus bertanya

"Wahai Khalifah, apa pandangan mu kalau kamu diberi amanah menjaga suatu harta.. Kemudian kamu mewakilkan harta itu kepada orang yang tidak beramanah, adakah kamu boleh dianggap telah melaksanakan amanahmu dengan benar? "

Soalan ini ditanya, kerana telah menjadi maklum buat semua apabila tamat khilafah Umar, penggantinya adalah dari kerabat khalifah terdahulu iaitu dari jalur Khalifah Sulaiman bin Abd Malik yang mana kebanyakan kerabat Umawiyyah adalah korup dan lintah darat.

Lalu Khalifah Umar Abdul Aziz terdiam dan akhirnya mengucapkan :-

"Berilah aku masa tiga hari untuk menjawab soalan mu" Khalifah memberi janji bahwa jika pendirian Khawarij dalam hal ini benar, maka Umar Abdul Aziz sendiri akan mereformasikan sistem kepimpinan monarki yang merupakan batu asas kerajaan Khilafah Umawiyyah.

Jawapan ini telah menggugat keseluruhan badan elit elitis kerabat bani Umawiyyah yang selama ratusan tahun hidup menyedut kemewahan hasil kepimpinan monarki ini sejak dari zaman Muawiyah bin Abi Sufiyan. Kegusaran mereka mula naik ke tahap maksimum hingga bimbang dan resah jika periuk nasi dan punca kuasa mereka dicabut.  

Lalu pulanglah wakil Khawarij ke kem mereka di luar ibu kota. Namun tidak cukup tiga hari, kem Khawarij diserang tentera Umawiyyah. Maka perwakilan Khawarij ini bertemu Gabenor kota Muhammad ibn Jarir untuk bertanyakan kenapa serangan ini dilakukan sedangkan Khalifah telah menjanjikan gencatan senjata?  Lalu Gabenor angkuh yang bersubahat dengan  tentera Umawiyyah berkata "Kami tak akan biar kamu bebas begini!! "

Maka terkejut kaum Khawarij, mengapa jadi begini sedangkan khalifah telah memberi janjinya untuk gencatan dan keamanan sementara menjawab persoalan mereka. Namun jelaslah sebabnya, jelaslah mengapa serangan mengejut ini dilakukan begitu tergesa-gesa. Hal ini kerana Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengeluarkan suatu perintah untuk membatalkan sistem monarki Khilafah Umawiyyah dan mengarahkan agar system Syura diwujudkan kembali untuk melantik kepimpinan seterusnya.

Perintah mulia ini telah menikam pedih ke benak hati sanubari kesemua kerabat-kerabat elit Umawiyyah!! Seumur hidup mereka lemas dan hanyut dengan kemewahan kerabat, dan Umar Abdul Aziz datang dan mahu mencantas talian hayat nafsu mereka.

Maka hal ini memberi hanya satu pilihan bagi golongan elit ini, iaitu hanya ada satu cara sahaja jika perintah ini mahu dihapuskan, tidak lain tidak bukan adalah dengan membunuh Amirul Mukminin Asy-Syahid Al-Malik Al-Adil Khalifah Umar Abdul Aziz. Lalu jatuh gugur si Khalifah sebelum sempat beliau mereformasikan sistem khalifah yang dahulunya terbina atas dasar Syura oleh sahabat-sahabat Baginda Rasul. Gugur syahid si Khalifah di tangan kaum keluarganya sendiri kerana beliau tidak mahu berkompromi dengan pengaruh kuasa kaumnya. Keberkatan yang diraih selama dua tahun kepimpinannya akhirnya musnah dengan penerusan khalifah seterusnya yang meneruskan polisi korupsi dan kleptokrasi. Maka Bani Umawiyyah kembali rakus setelah sekian lama dihalang oleh Sang Pejuang bernama Umar Abdul Aziz.

Aku merinduimu hai Khalifahku!

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Rujukan : Umar Abdul Aziz, Khomis Al-Rasyidin oleh Almarhum Dr Muhammad Imarah

Comments