Cinta Allah lebih utama dari cinta sesama manusia…

 



Allah swt berfirman di dalam ayat 221 Surah Al-Baqarah :-

وَلَا تَنْكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنْكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا ۚ وَلَعَبْدٌ مُؤْمِنٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُولَٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

"Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya budak yang mukmin lebih baik dari orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran."

Untuk lebih memahami ayat ini, adalah elok kita telusuri tafsiran Sayyid Qutb dalam Zhilalnya :-

“Perkahwinan itu adalah suatu suatu ikatan yang terkuat dan terdalam dalam menyatukan dua insan dari bani manusia dan ianya merupakan suatu jalinan kontrak yang paling luas dilakukan antara dua individu. Oleh yang demikian, maka semestinya ikatan ini memerlukan penyatuan hati di atas satu pengikatan yang tidak akan terurai. Jika hati perlu disatukan maka hendaklah hati-hati itu diikat atas suatu hala yang satu yakni iktiqad yang sama. Lantaran itu, Aqidah Agama adalah ikatan yang terkuat dan terkukuh dalam membangunkan jiwa manusia dan mempengaruhi jiwanya serta menggerakkan pancainderanya bahkan membimbing jalan hidupnya di dunia.

Adapun adalah haram jika jalinan perkahwinan itu diikat antara dua hati yang tidak bersatu atas aqidah yang satu. Jika ini tetap berlaku, maka ini adalah ikatan yang sandiwara serta lemah dan tidak kukuh. Dua hati ini langsung tidak boleh bertemu demi Allah dan ia tidak terbina atas manhaj kehidupan iaitu Aqidah Islam. Allah yang memuliakan manusia dan mengangkat darjatnya melebihi darjat binatang mahukan agar hubungan pernikahan ini tidaklah semata-mata begantung pada nafsu kebinatangan akan tetapi Tuhan mahukan agar hubungan ini dapat diangkat hingga dapat bersambung dengan Tuhan Yang Maha Tinggi sekaligus mengikat hubungan ini dengan kehendakNya, Manhaj ketetapanNya yang membawa kepada pembangunan hidup dan kesuciannya.

Sambung Sayyid Qutb lagi

فإذا امن فقد زالت العقب الفاصلة وقد التقى القلبان في الله وسلمت الاصرة الإنسانية بين الاثنين مما كان يعوقها ويفسدها..سلمت تلك الاصرة وقويت بتلك العقدة الجديدة عقدة العقيدة

Namun apabila beriman sahaja pasangan itu, maka lenyaplah halangan yang menghalang perkahwinan itu, sekaligus bertemulah dua hati itu dibawah naungan Allah. Disamping itu, akan menjadi aman dan sejahtera ikatan kemanusiaan antara dua insan itu dari perkara-perkara yang sebelum ini menghalang ikatan itu berlaku bahkan dengan wujudnya ikatan ini maka kukuhlah ikatan Aqidah pula.” (Fi Zhilalil Quran)

Buya Hamka pula menjelaskan hikmah dilarang perkahwinan dengan bukan Islam dalam Tafsir Azharnya apabila beliau memetik hujung ayat 221 surah Al-Baqarah :

“Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran.”

Buya Hamka :-

“Ujung ayat telah menegaskan, ayat-ayat disini bererti perintah, maka tidak boleh dilengahkan. Sebab rumahtangga wajib dibentuk dengan dasar yang kukuh iaitu dasar Iman dan Tauhid, Bahagia di dunia dan akhirat. Maghfirah atau ampunan Tuhan pun meliputi rumahtangga demikian. Alangkah bahagia suami isteri kerana persamaan pendirian di dalam menuju Tuhan. Alangkah Bahagia sebab dengan sebab izin Tuhan mereka akan Bersama-sama menjadi isi syurga. Inilah yang wajib diingati jangan mengingat kecantikan perempuan kerana kecantikan itu tidak berapa lama akan luntur. Dan jangan terpesona oleh kaya orang lelaki, kerana kekayaan yang dipegang oleh orang musyrik tidak akan ada berkatnya.” (Tafsir Al-Azhar)

Maka jelas dari ayat 221 Surah Al-Baqarah dan penjelasan dari dua tafsir tadi menunjukkan betapa ikatan perkahwinan ini wajib dibina atas dasar aqidah yakni keimanan yang jitu kepada Tuhan Maha Pencipta. Lalu, persoalan yang mula bermain di fikiran kita? Apa pula status mereka yang berkahwim dengan bukan Islam?

Maka Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah ada menyebutkan bahawa ulama sepakat bahawa lelaki muslim dan perempuan muslim haram berkahwin dengan pasangan yang musyrik berdalilkan kepada ayat 221 surah Al-Baqarah tadi. Begitulah yang diungkapkan oleh Dr Wahbah Zuhaili dalam Fiqh Islaminya, menyatakan telah berlaku ijmak dalam hal ini.

Dr Wahbah Zuhaili juga menyingkap jendela hikmah dari sebalik pengharaman ini, khususnya dalam kes Muslimah mengahwini orang bukan Islam :-

"ولأن في هذا الزواج خوف وقوع المؤمنة في الكفر لأن الزوج يدعوها عادة الى دينه والنساء في العادة يتبعن الرجال فيما يؤثرون من الأفعال ويقلدنهم في الدين بدليل الإشارة إليه في اخر الأية (أولئك يدعون إلى النار) أي يدعون المؤمنات إلى الكفر والدعاء الى الكفر دعاء الى النار لأن الكفريوجب النار فكان زواج الكافر المسلمة سببا داعيا إلى الحرام فكان حراما باطلا"

“Perkahwinan seperti ini (Muslimah mengahwini orang kafir) akan menimbulkan kebimbangan tergelincirnya Muslimah itu kedalam kekufuran kerana si suami selalunya mengajak isterinya untuk beramal dengan agamanya, dan perempuan kebiasaannya mengikuti suami mereka dalam perkara yang mempengaruhinya dari sudut perbuatan dan amalan agama suami berdasarkan hujung ayat 221 surah Al-Baqarah “Mereka itu yakni lelaki musyrik mengajak kepada neraka” iaitu bermaksud mereka mengajak wanita beriman yang dikahwini mereka kepada kufur. Seruan kepada mengkufuri Allah adalah seruan ke neraka kerana kufur itu tempatnya di neraka. Oleh yang demikian, mengahwini lelaki kafir adalah sebab yang membawa kepada haram lagi batil!”

Maka, meskipun benar cinta itu buta namun butalah kita jika kita tidak mahu cinta kita di dunia ini untuk dinaungi cinta dan kasih sayang Allah, bukankah Allah menyeru kita ke syurga dan ampunannya! Cinta apa lagi yang kita mahukan selainNya? Allah melarang kerana Dia sayang kita.

Omar Mokhtar Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Comments