Sang Daie Yang mencetus Ummah


 Sang Daie Yang mencetus Ummah

Sheikh Muhammad Al-Ghazali As-Saqqa merupakan salah satu tokoh ilmuwan terulung zaman.  Dilahirkan pada 1917 masihi dan merupakan antara permata Al-Azhar yang terbilang dan antara ilmuwan gerakan ikhwanul Muslimin mesir. 

Beliau juga merupakan anak didik Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang merupakan anak didik Imam Rashid Ridha yang juga anak didik kepada Imam Muhammad Abduh dan juga anak didik kepada Sheikh Jamaluddin Afghani. (Sanad nya bersambung ke Jamalauddim Al-Afghani) 

Sheikh Muhammad Ghazali mengorbankan masa usianya membela kesucian pemikiran Islam dan aqidahnya. Beliau meninggalkan dunia Islam dengan karya-karya yang banyak menjawab segala pemikiran-pemikiran yang asing yang cuba mencemari kesucian agama.  Buku-bukunya menjangkau 60 buku , apatah lagi jika ditambahkan lagi maqalah-maqalah, khutbah serta dialog yang beliau sampaikan kepada masyarakat. 

Sheikh Muhammad Ghazali juga dengan penuh hikmah pernah menghuraikan erti Islam dengan penuh ringkas dan padat... Iaitu

إنه قلب تقي وعقل ذكي! 

Sesungguhnya Islam ini adalah hati yang bertaqwa dan Aqal yang cerdas!

Oleh yang demikian,  beliau merupakan ilmuwan yang cuba menyelamatkan Islam dari pemikiran yang mahu memecahkan antara aqal dan hati.. Pemikiran ini akhirnya menjadikan ibadat ruhani menjadi kering dan soal hati pula akan disibukkan dengan perkara khurafat dan bidaah. Maka menjadilah Para Fuqaha' yang tiada penghayatan jiwa pada mereka dan orang sufi yang tiada fiqh pada mereka. 

Beliau juga ilmuwan yang amat prihatin dengan soal rakyat dan kezaliman yang berlaku.  Beliau mempercayai bahawa tingkah laku pemimpin diktator dan korup yang mahu rakyat mereka terus menerus hidup dalam kemiskinan dan kesusahan adalah objektif pemimpin-pemimpin rakus untuk kekal berkuasa dan berpolitik zalim.  Lantaran itu orang agama akan dikerah untuk menyakinkan rakyat agar menerima pemimpin haprak mereka dan ditafsirkan nas-nas agama dengan tafsiran salah sekaligus membuatkan rakyat melupai hak-hak mereka dan menganggap kefakiran mereka sebagai suatu jalan kearah kejayaan akhirat. 

Beliau terkehadapan menjawab pelbagai isu dan pemikiran yang mengancam kefahaman benar Islam... Beliau menulis buku Islam dan Komunisme,  Islam dan Kapitalisme,  Islam antara Kapitalisme dan Komunisme dan lain-lain.  Beliau juga menulis buku menjawab isu kejurangan antara aliran fiqh dan aliran hadis iaitu Sunnah Nabawiyyah antara Fiqh dan Ahli Hadis dan banyak lagi.

Di akhir usianya,  beliau dinasihati doktor untuk tidak bergerak jauh atau menghadiri seminar dan forum.  Namun,  beliau masih gigih menerima jemputan masyarakat yang dahagakan pencerahan darinya.  Suatu hari seorang wanita datang bertemunya dan menceritakan kepada Sheikh Muhammad Ghazali bahawa beliau bermimpi berada di Madinah dan melihat Sheikh Muhammad Ghazali berjalan sambil Rasulullah saw memegang tangan kanannya dan Sayyidina Bilal bin Rabah memegang tangan kirinya.  Mendengar mimpi tersebut, Sheikh Muhammad Ghazali berkata

"هذه الصحبة أحبها وأريدها"

Perdampingan ini aku amat suka dan inginkan. 

Lalu Sheikh mendapat jemputan menghadiri seminar di Riyadh, Arab Saudi dan meskipun beliau uzur dan sakit namun beliau tetap mahu pergi menyumbang buah fikirannya. Semasa beliau sedang mendengar pembentangan dalam seminar tersebut,  ada suatu pembentangan yang beliau rasakan tidak tepat dengan pemikiran Islam sebenar dan atas rasa tanggungjawab beliau meminta pengacara majlis untuk menjawab dan berhujah balas. Tetapi Pengacara majlis menyatakan ruang menjawab akan dimasukkan ke slot seterusnya. 

Sheikh kita yang kita rindui lalu akur seraya mengambil pena dan kertas untuk menulis nota dan isi jawapan balas sambil menunggu peluang untuk menjawab. Sedang penanya perlahan menulis hujjah mempertahankan Islam,  Tuhan Yang Maha Penyayang menjemput pahlawanNya ini pulang ke negeri abadi. Pulanglah beliau tatkala beliau dalam keadaan berjuang untuk membela kesucian Islam. 

Pada tanggal 9 Mac 1996 beliau dikebumikan perkuburan Baqi' di Madinah bersama-sama kubur para Sahabat Rasulullah saw dan kubur Imam Malik bin Anas... Moga Allah redha akan mereka semua. 

Hingga kini, pertempuran masih berterusan... Dan kita merindui kejaguhan Imam Muhammad Al-Ghazali yang suatu ketika memimpin perjuangan ini dengan qalam dan minda serta jasadnya. 

Rujukan : Asy-Syeikh Muhammad Ghazali,  Al-Mauqi' Al-Fikri wa Al-Maarik Al-Fikriyyah

Antara contoh-contoh bukunya

1. Al-Islam wa al-Awda‘ al-Iqtisadiyyah

(Islam dan Kedudukan Ekonomi), Dar al-Rayan li Turath, al-Qahirah, Cet. Kelapan, 1987.

2. Al-Islam wa al-Manhaj al-Istirakiyyah

(Islam dan Metodologi Sosialis), Dar al-Kitab al-Hadithah, al-Qahirah, t.t.

3. Islam wa Istibdad al-Siyasi

(Islam dan Politik Diktator), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1984.

4. Islam Muftara ‘alayh bayn Shuyu‘in wa al-Rasumaliyyin

(Salah Faham Terhadap Islam : Antara Tentangan Komunis dan Kapitalis), Dar al-Kitab al-Islamiyyah, al-Qahirah, t.t.

5. Min Huna Na‘lam

(Dari Sini Kita Memahami), Nahdah Misr, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1997.

6. Ta’amulat fi Din wa ‘l-Hayat

(Penghayatan Pada Agama dan Kehidupan), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1992.

7. Khuluq al-Muslim

(Peribadi Orang Islam), Dar al-Rayan, al-Qahirah, 1980

8. ‘Aqidah al-Muslim

(Akidah Muslim),Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, 1980.

9. Al-Ta‘asub wa al-Tasamuh

(Ekstremisme dan Toleransi), Dar al-Tawjiz wa al-Nashar al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1993.

10. Fi Mawkib al-Da‘wah

(Dalam Perjalanan Dakwah), Dar al-Kitab al-‘Arabi, al-Qahirah, Cet. Kedua, 1957

11. Zalam Min al-Gharb

(Kegelapan dari Barat), Dar al-‘Itisam, al-Qahirah, t.t.

12. Sayhat al-Tahzir Min Du‘at al-Tansir.

( Pengumuman Peringatan dari Pendakwah Kristian ), Dar al-Sahwah, al-Qahirah, 1991.

13. Jaddid Hayatak

(Perbaharui Kehidupanmu), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1989.

14. Laysa Mina ‘l-Islam

(Bukan Dari Islam), Maktabah Wahbah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1991.

15. Min Ma‘alim al-Haq

Daripada Pengajaran-Pengajaran Kebenaran), Dar al-Kutub al-Hadithah, al-Qahirah, Cet. Keiga, 1963.

16. Kayfa Nafham al-Islam

(Bagaimana Memahami Islam), Dar al-Da‘wah, Iskandariah, 1991

17. al-Isti‘mar Ahqad wa Atma‘

(Penjajahan : Dendam dan Ketamakan), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Ketiga, 1985.

18. Nazarat fi al-Qur’an

(Kajian Pada al-Quran), Dar al-Kutub al-Islamiyyah, al-Qahirah, Cet. Keenam, 1986.

Dan banyak lagi yang tidak sempat disenaraikan disini


Omar Mokhtar Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara,  Peguam Syarie

Comments