Pesan-Pesan Puasa oleh Almarhum Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaili


Pesan-Pesan Puasa oleh  Almarhum Dr Wahbah Mustafa Al-Zuhaili

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, pada bab Puasa, Almarhum Sheikh Wahbah Al-Zuhaili telah menerangkan pada permulaan bab itu berkenaan kebaikan dan manfaat ibadah Puasa.

Berikut adalah terjemahannya :-

Manfaat Puasa adalah banyak dan boleh dilihat dari sudut Rohani dan Fizikal

Puasa itu sendiri adalah lambang ketaatan kepada Allah ta’ala dimana seorang Mukmin akan mendapat ganjaran pahala yang tiada terhad padanya. Hal ini kerana ibadah puasa ini dilakukan semata-mata kerana Allah ta’ala dan kemurahan Allah itu tersangatlah luas dan si Mukmin yang berpuasa akan mencapai redha Allah serta berhak untuk memasuki syurga-syurgaNya dari gerbang khas bagi orang yang berpuasa yang bernama Al-Rayyan. Ibadah puasa juga dapat menjauhkan orang Mukmin dari azab Allah ta’ala dan menghapuskan dosa dari satu tahun ke tahun berikutnya. Ibadah puasa juga meluruskan dan memperbetulkan urusan Mukmin agar senantiasa di atas kebenaran yang dikehendaki Allah kerana puasa merealisasikan sifat Taqwa yang merupakan ketaatan kepada Tuhan dalam melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Allah taala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:-

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,”

Puasa itu adalah madrasah akhlak yang agung (Madarasah Khuluqiyah Kubra) dimana orang beriman melatih dirinya didalam madrasah ini dengan pelbagai latihan dan ujian. Madrasah ini mendidik diri untuk berjihad melawan hawa nafsu serta godaan syaitan yang senantiasa menguji orang beriman sekaligus membiasakan diri mereka untuk bersabar dari melakukan sesuatu yang diharamkan dan perkara yang menguji kehendak nafsunya seperti ketikamana dihidangkan makanan yang disukainya dihadapannya yang memberi bau enak dan lazat, tambahan pula air segar lagi sejuk dihidangkan bersama. Namun orang beriman yang berada dalam madrasah ini menahan diri dari mengikuti hawa nafsunya dan sabar menanti waktu berbuka demi Tuhannya.

Puasa itu mengajarkan sifat amanah dan sifat sentiasa berasakan pengawasan Allah di saat rahsia dan terang terangan kerana tiada yang mengetahui hal orang Mukmin yang sedang berpuasa dari melakukan perkara yang mengenakkan nafsunya melainkan Allah swt sahaja.

Puasa itu menguatkan kehendak dan mengutuhkan keazaman, mengajarkan kesabaran, membantu untuk menjernihkan pemikiran lantas menyalakan dan memberi ilham kepada akal dengan pemikiran tajam. Hal ini kerana mukmin yang berpuasa telah melepasi marhalah atau peringkat kemalasan serta meninggalkan segala bentuk kelalaian dan kelembikan dengan sebab ia berpuasa. Luqman Al-Hakim pernah berkata kepada anaknya “Wahai anakku, jika perut sudah penuh dengan makanan maka akal pemikiran pun terlena, dan terbantutlah hikmah kebijaksanaan serta terencatlah anggota badan dari ibadah.”

Puasa mengajarkan disiplin dan pengurusan diri kerana ia memaksa Mukmin yang berpuasa untuk makan dan minum pada waktu yang tertentu. Puasa juga menimbulkan rasa kesatuan ummah dari timur dan barat dimana kesemua umat Islam berpuasa dan berbuka dalam masa yang sama demi Tuhan mereka Yang Esa sambil beribadah dengan amal ibadah yang sama.

Puasa juga membangunkan perasaan kasih dan persaudaraan dalam diri serta membangkitkan perasaan solidariti dan kebersamaan yang menguatkan hubungan dalam kalangan orang Islam. Apabila dirinya sedang berlapar ketika puasa, maka dia akan segera merasai simpati lantas berusaha untuk membantu mereka yang faqir, kelaparan dan kesakitan. Maka bertambah kukuhlah hubungan kemasyarakatan dalam kalangan insan dimana tiap individu bekerjasama untuk merawat penyakit-penyakit dan kesusahan yang menimpa masyarakat.

Puasa juga menguatkan tubuh badan  dimana sel-sel badan yang lama digantikan dengan baru serta ia merehatkan organ-organ penghadaman didalam perut dengan membuang sisa-sisa tidak elok keluar dari badan. Nabi bersabda “Berpuasalah kalian nescaya kamu menjadi sihat.” (Hadis Riwayat Ibn As-Sunni, hadis Hasan). Seorang pakar perubatan arab iaitu Al-Harith bin Kaldah juga berkata “Perut itu rumah bagi penyakit, dan Al-Himyah itu kepala bagi tiap ubat.” Al-Himyah itu adalah suatu proses dimana seseorang itu mengurangkan pengambilan makanan bagi satu tempoh tertentu seperti puasa.

Puasa itu jihad melawan nafsu dan membersihkan diri dari kotoran dunia dan dosa-dosanya. Puasa membantu untuk memecahkan ancaman syahwat dan mendidik serta mendisiplinkan diri dalam pengambilan makanan dan minuman sepertimana yang disabdakan Nabi “Wahai anak muda, barangsiapa yang mempunyai kemampuan dalam kalangan kamu hendaklah ia berkahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan melindungi kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia dapat melemahkan nafsu (Al-Wija’).” Seorang ulama bernama Al-Kamal bin Al-Humam berkata “Puasa itu nombor tiga bagi rukun-rukun Islam selepas Syahadah, Solat.” Puasa ini disyariatkan Allah ta’ala yang mempunyai banyak manfaat dan manfaat teragung bagi puasa adalah ia memberi kepada Mukmin yang berpuasa itu sifat-sifat berikut:-

1. Menenangkan nafsu Amarah  serta menghancurkan belitan amarah pada anggota tubuh seperti mata, lisan, telinga dan kemaluan. Hal ini berlaku apabila puasa itu dapat melemahkan Gerakan tubuh dan derianya, oleh kerana itu dikatakan “Apabila lapar jiwa itu maka kenyanglah seluruh anggota, namun apabila jiwa itu kenyang maka laparlah seluruh anggota.”

2. Puasa mendatangkan perasaan kasih dan simpati kepada orang miskin apabila ia merasai kelaparan puasa dalam tempoh yang tertentu. Maka bersegeralah ia membantu mereka yang memerlukan lantas berjaya memperolehi ganjaran besar disisi Allah.

3. Kebersamaan dengan orang faqir dengan memikul beban sepertimana yang dipikul mereka lantas mendapat kedudukan tinggi disisi Allah.

Didalam kitab Al-Idoh, dinukilkan suatu pesanan “Ketahuilah bahawa puasa itu adalah antara rukun-rukun agama yang paling teragung dan adalah antara aturan Syarak yang paling kukuh, maka dengan puasalah ia dapat menundukkan Nafsu Amarah yang jahat serta menahan diri dari makanan, minuman dan hubungan perkahwinan kerana ia adalah terkandung dari amalan hati. Oleh yang demikian puasa adalah ciri yang paling terindah namun ia sememangnya taklif yang paling berat keatas jiwa seorang insan". Sehubungan dengan itu, Allah swt memuji orang berpuasa menerusi Surah Al-Ahzab ayat 35 :-

 اِنَّ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمٰتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِ وَالْقٰنِتِيْنَ وَالْقٰنِتٰتِ وَالصّٰدِقِيْنَ وَالصّٰدِقٰتِ وَالصّٰبِرِيْنَ وَالصّٰبِرٰتِ وَالْخٰشِعِيْنَ وَالْخٰشِعٰتِ وَالْمُتَصَدِّقِيْنَ وَالْمُتَصَدِّقٰتِ وَالصَّاۤىِٕمِيْنَ وَالصّٰۤىِٕمٰتِ وَالْحٰفِظِيْنَ فُرُوْجَهُمْ وَالْحٰفِظٰتِ وَالذَّاكِرِيْنَ اللّٰهَ كَثِيْرًا وَّالذَّاكِرٰتِ اَعَدَّ اللّٰهُ لَهُمْ مَّغْفِرَةً وَّاَجْرًا عَظِيْمًا

"Sesungguhnya, lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan Muslim, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan Mukmin, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang tetap dalam ketaatannya, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang jujur, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang sabar, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang khusyuk, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang bersedekah, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang berpuasa, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya, dan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka pengampunan dan ganjaran yang agung."

(Terjemahan bahagian Kebaikan Berpuasa dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, Almarhum Dr Wahbah Al-Zuhaili)

Terjemahan oleh Al-Rupawani 

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie



Comments