Empat Muhammad Yang Terpuji dan Kelaparan



(Siri Motivasi PKP)

Empat Muhammad Yang Terpuji dan Kelaparan.

Mereka adalah tidak lain dan tidak bukan Muhammad bin Jarir Al-Tobari, Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah, Muhammad bin Nasri Al-Marwazi, Muhammad bin Harun Al-Ruyani. Keempat-empat ini adalah tokoh perundangan Islam yang gemilang dan diiktiraf keimaman mereka. Jika kita meneliti kitab-kitab klasik Mazhab Syafie seperti Mughnil Muhtaj oleh Khatib Syarbini kita akan temui istilahالمحمدون الأربعة   (Muhammad yang empat yakni keempat-empat imam ini).

Namun sebelum mencapai gerbang kegemilangan, ada disebaliknya kisah keperitan dan kepayahan..

Suatu ketika dizaman keempat-empat Muhammad ini masih lagi dalam perjalanan mencari Ilmu diwaktu muda mereka, keempat-empat Muhammad ini bersama-sama mengembara ke Mesir demi ilmu pada tahun 256 hijrah. Namun mereka sangatlah miskin dan fakir serta hidup melarat di rumah yang mereka kongsi hidup bersama-sama. Namun mereka istiqamah bermuzakarah, membahas ilmu agama dan ilmu hadith meskipun kelaparan sering menyerang mereka.

Pada suatu malam, mereka bersepakat untuk mencabut undi, barangsiapa yang terkena cabutan itu maka dia perlu keluar rumah meminta bantuan orang ramai demi mencari sesuap makanan untuk kesemua mereka. Maka Al-Imam Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah terkena cabutan itu lantas beliau berkata kepada sahabat-sahabatnya

"Berilah masa sedikit, aku mahu berwuduk dan solat Istikharah dahulu. Lalu berangkatlah beliau solat. Tiba-tiba sahaja pintu rumah mereka diketuk, lalu mereka membukanya maka dihadapan mereka Ahmad bin Tulun Gabenor Mesir. Lalu sang gabenor turun dari kudanya seraya bertanya kepada muhammad-muhammad itu

"Yang mana satu Muhammad bin Nasr Al-Marwazi? "

"Ini beliau"

Lalu diberi kepada Imam Al-Marwazi suatu bungkusan yang dipenuhi 50 dinar.

"Yang mana satu Muhammad bin Jarir? "

"Ini beliau"

Lalu diberi bungkusan dipenuhi 50 dinar itu kepada Imam At-Tobari

"Yang mana satu Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah? "

"Ini beliau sedang solat".

Lalu diberi bungkusan yang sama selepas selesai Imam ibnu Khuzaimah solat.

"Yang mana satu Muhammad bin Harun Al-Ruyani"

"Ini beliau"

Lalu diberi kepada beliau bungkusan berisi jumlah yang sama.

Kemudian berkata Ahmad bin Tulun kepada keempat-empat Imam yang bernama Muhammad ini

"Sesungguhnya Amirul Mukminin pada waktu zohor kelmarin sedang tidur sejenak untuk berehat lalu beliau bermimpi didatangi suatu jelmaan yang menyerunya:-

"Sesungguhnya Muhammad-Muhammad yang empat sedang mengikat kain pinggang mereka dek kerana kebuluran, maka berilah kepada mereka bungkusan wang ini !"

Oleh yang demikian, Amirul Mukminin berjanji dan bersumpah akan memberi tambahan kepada kalian jika wang sudah habis. Maka jika sudah habis, maklumkanlah kepada beliau

SubhanAllah, SubhanAllah, inilah dia jalan permulaan sang imam-imam ini. Mereka Ikhlas menuntut ilmu kerana Allah. Mereka berlapar kerana Allah, mengorak jalan menuntut ilmu ini penuh tawakkal kepada Allah. Hinggalah Allah menjaminkan rezeki buat mereka dari jalan yang tidak disangka. Hingga Allah taala menghantar mimpi terus untuk menyelamatkan hamba-hambaNya yang gigih mencari ilmuNya, semestinya Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka!

Muhammad bin Jarir At-Tobari akhirnya menjadi Imam besar dalam dunia Fiqh dan Hadith serta sejarah. Kitabnya Tarikh At-Tobari gemilang hingga kini menjadi rujukan sejarah ketamadunan.

Muhammad bin Nasr Al-Mawarzi akhirnya menjadi jaguh Fiqh dan Hadith,kitabnya seperti Al-Sunnah dan Ikhtilaf Al-Fuqaha' menjadi sebutan hingga sekarang menjadi rujukan para ulama.

Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah juga seorang ilmuwan ulung Fiqh dan Hadith serta kitab popularnya Sahih Ibn Khuzaimah menjadi perbahasan dan  para peminat ilmu yang mahu mengkaji sabda Junjungan Besar Nabi saw.

Muhammad bin Harun Al-Ruyani akhirnya menjadi Tokoh Ahli Hadis serta Perawi Hadis Nabi yang gemilang hingga memiliki Musnadnya iaitu Musnad Al-Ruyani. Beliau disahkan oleh para pengkritik Hadith sebagai Al-Hafiz Al-Thiqah serta tempat rujukan para pencari Hadith.

Keempat-empat mereka ini bermula didalam satu rumah serba kedaifan dan kemiskinan. Lalu Allah mengangkat mereka menjadi jaguhNya di dalam Syariah Islamiyyah.

Benarlah kata Imam Ibn Atho'illah  As-Sakandari

من لم تكن له بداية محرقة، لم تكن نهايته مشرقة

Barangsiapa yang permulaan hidupnya tiada usaha bersemangat lagi membakar, tiadalah baginya penghujung yang gemerlapan bersinar.

Maka benarlah juga sabdaan Junjungan Besar Nabi Muhammad saw

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

Moga Allah merahmati Imam Muhammad Empat ini.... Besar jasa mereka kepada kita.

Rujukan : Safahat Min Sabril Ulama Ala Syadaid Al-ilmi wa At-Tahsil, oleh Al-Imam Abdul Fattah Abul Ghuddah rahimahullah.

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Comments