Pesan Dr Wahbah Al-Zuhaili :Kelebihan dan Keutamaan ibadah Haji

 





Pesan Dr Wahbah Al-Zuhaili :Kelebihan dan Keutamaan ibadah Haji

Ibadah Haji adalah rukun kelima dari rukun-rukun Islam yang difardhukan oleh Allah taala ke atas muslim yang mampu. Telah berkata Qadhi Hussein dari Mazhab Syafie “Haji itu adalah ibadah paling afdhal kerana ia merangkumi harta dan badan.” Al-Imam Hulaymi pula berkata “Haji itu menghimpunkan kesemua makna ibadah, maka barangsiapa yang melakukan haji seolah-olah dia berpuasa, melakukan solat , beriktikaf, melakukan zakat, berjuang di jalan Allah serta berperang. Bahkan kita diseru sejak kita masih didalam tulang sulbi ayah kita untuk mengerjakan ibadah Haji samalah halnya dengan beriman yang mana ianya adalah sebaik-baik ibadah”(semasa di alam roh, kita diperintah Allah untuk menyembah Tuhan Yang Esa, samalah halnya dengan seruan Haji)

Namun pandangan paling rajih dalam Mazhab Syafie dan Hanbali adalah ibadah Solat adalah sebaik-baik ibadat kerana ia adalah tiang agama.

Ibadah Haji dan Umrah dapat merealisasikan tuntutan fardhu kifayah iaitu menghidupkan dan mengimarahkan Kaabah pada tiap tahun dengan melakukan ibadah. Adapun Umrah berbeza dengan Haji kerana ianya boleh ditunaikan pada tiap hari dalam satu tahun dan ia juga lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding Haji yang terikat dengan tempoh hari tertentu.

Ibadah Haji ini penuh sarat dengan faedah samada dari sudut individu dan masyarakat. Faedah yang paling mustahak dari sudut individu adalah :-

Ibadah Haji menghapuskan dosa-dosa kecil dan menyucikan jiwa dari kotoran maksiat. Telah berkata sebahagian ulama mazhab Hanafi bahawa ibadah Haji menghapuskan dosa-dosa besar berdalilkan kepada suatu hadis Nabi saw

“Antara ibadah Umrah yang lepas kepada Umrah yang depan adalah kaffarah penghapus dosa, dan Haji yang Mabrur tiadalah baginya ganjaran melainkan ganjaran Syurga” Riwayat Muslim

Maka berdasarkan hadith ini ganjaran ibadah Haji tidak terhad kepada penghapusan sebahagian dosa sahaja bahkan ia menjadi sebab seseorang itu memasuki syurga. Nabi saw juga bersabda “Barangsiapa yang melakukan Haji dan dia tidak melakukan perkara keji dan fasiq maka dia akan disucikan dari dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Nabi saw juga bersabda “Orang yang mengerjakan Haji dan orang yang mengerjakan Umrah adalah tetamu Allah, jika mereka berdoa kepadaNya nescaya Dia akan membalasnya, jika mereka memohon ampun dariNya nescaya Dia akan mengampunkan dosa mereka” Riwayat An-Nasaie dan Ibn Majah

Nabi saw bersabda lagi “Diampuni dosa bagi orang yang mengerjakan Haji dan diampuni dosa orang yang didoakan pengampunan oleh orang yang mengerjakan Haji” Riwayat Al-Bazzar dan Tabrani

Telah berkata Al-Qadhi Iyadh

“Ahli Sunnah wal Jamaah telah sepakat bahawa dosa-dosa besar tidak akan dihapuskan melainkan dengan bertaubat, dan sebarang hutang tidak dapat terus dilangsaikan (tanpa usaha untuk menunaikan hutang ini) meskipun hutang ini adalah berkait hak Allah taala seperti hutang solat dan zakat”

Maka dapatlah difahami bahawa ibadah Haji ini menghapuskan dosa-dosa kecuali jika dosa melibatkan hak sesama manusia. Maka dosa yang berkait sesama manusia ini tidak akan diampunkan hinggalah Allah menghimpunkan semua mereka yang dizalimi oleh si pendosa itu lalu tiap mereka akan mengambil hak mereka darinya. Namun Allah taala boleh menjadikan tiap penuntut itu untuk redha dan memaafkan demi menggapai ganjaran besar dariNya. Oleh yang demikian, tiada masalah bagi si penuntut hak untuk memaafkan si pendosa. Namun, perlu diketahui disini bahawa hak-hak sesama manusia wajib ditunaikan adapun hak Allah maka ia terbina atas tasamuh dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun dan Penyayang.

Ibadah Haji juga menyucikan jiwa dan mengembalikan dirinya kepada ketulusan dan ikhlas sekaligus membawa kepada kehidupan yang serba baru. Ia juga mengangkat nilai kemanusiawian insan serta mengukuhkan harapan dan sangka baik kepada Allah taala. Ibadah Haji juga menguatkan Iman dan melatih diri untuk memperbaharui janji kepada Allah. Hal ini membantu dirinya untuk bertaubat secara tulus kepada Allah serta mensucikan diri dan menggentarkan perasaan dan jiwanya untuk menghayati ibadah di Baitillah.

Ibadah Haji memperingatkan sang mukmin akan sejarah silam Islam yang terdahulu, dan kisah jihad perjuangan Nabi Muhammad saw serta Salafus Soleh yang berhempas pulas menerangi dunia ini dengan dakwah dan amal soleh.

Ibadah Haji menuntut kita untuk melakukan permusafiran menuju Tanah Suci, dan ini melatih kita untuk bersabar dan menanggung kepenatan dan kelelahan perjalanan dengan cekal. Seseorang mukmin akan mempelajari ketelitian dan kepatuhan  dalam menunaikan perintah-perintah Tuhan dan menanggung derita di atas jalan Allah yang menuntut pengorbanan dan ithar.

Ibadah Haji menjadikan si hamba untuk bersyukur kepada Tuhannya atas nikmat yang dilampahkan kepadanya seperti nikmat harta, nikmat kesihatan, dan menanam didalam dirinya jiwa pengabdian yang sempurna untuk tunduk patuh penuh penyerahan kepada Syariat Allah dan agamaNya. Al-Imam Al-Kasani telah berkata :

“Pada ibadah Haji itu terdapat elemen penzahiran Ubudiyyah atau perhambaan dan elemen mensyukuri nikmat yang diberi oleh Tuhan. Adapun penzahiran perhambaan kepada Tuhan adalah kezahiran kerendahan dan kepatuhan kepada Tuhan yang disembah yang terdapat dalam ibadah Haji. Hal ini kerana, ketika si mukmin berada dalam keadaan ihram semasa Haji ia menzahirkan keadaan tidak terurus si mukmin yang sedang melakukan haji dan menolak sebarang asbab untuk berhias dan kemewahan. Ia juga menzahirkan suatu gambaran seorang hamba abdi yang mana ia dimurkai Tuannya maka si hamba terpaksa menunjukkan kehinaan dirinya demi memperoleh kasih Tuannya. Adapun elemen kedua iaitu mensyukuri nikmat Tuhan adalah kerana ibadah boleh dibahagikan kepada ibadah harta dan ibadah anggota badan, namun bagi Haji ia tidak dapat disempurnakan melainkan dengan harta dan tubuh badan. Oleh yang demikian ibadah Haji ini tidak menjadi wajib melainkan adanya kemampuan harta dan kesihatan badan sekaligus wajib baginya untuk mensyukuri dua nikmat besar ini. Mensyukuri nikmat diberi Tuhan dapat direalisasikan dengan mentaati Tuhan yang mengurniakan nikmat. Justeru, mensyukuri atas nikmat yang diberi itu adalah wajib dari sudut aqal dan Syarak.”

Adapun faedah Haji dari sudut kemasyarakatan pula adalah ia adalah wadah kepada taaruf antara Ummat yang terdiri dari pelbagai latar belakang, warna kulit, Bahasa, negara. Hal ini memungkinkan penukaran manfaat ekonomi yang bebas sesama mereka dan saling bermuzakarah berkenaan hal ehwal ummat Islam serta memupuk semangat Kerjasama dan kesatuan dalam satu saf untuk menghadapi musuh-musuh mereka serta banyak lagi manfaat yang melimpahi ummat dengan asbab Haji berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Haj ayat 28

لِّيَشْهَدُوْا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللّٰهِ فِيْٓ اَيَّامٍ مَّعْلُوْمٰتٍ عَلٰى مَا رَزَقَهُمْ مِّنْۢ بَهِيْمَةِ الْاَنْعَامِۚ فَكُلُوْا مِنْهَا وَاَطْعِمُوا الْبَاۤىِٕسَ الْفَقِيْرَ ۖ

28. Agar mereka menyaksikan berbagai manfaat untuk mereka dan agar mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang telah ditentukan atas rezeki yang diberikan Dia kepada mereka berupa hewan ternak. Maka makanlah sebagian darinya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.

Ibadah Haji mencetus kekuatan ikatan perhubungan dan persaudaraan sesama orang beriman dari seluruh pelusuk bumi dan ini telah digambarkan oleh Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat ayat 10

اِنَّمَا الْمُؤْمِنُوْنَ اِخْوَةٌ فَاَصْلِحُوْا بَيْنَ اَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ ࣖ

10. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

Manusia juga merasai dengan benar bahwa mereka semua adalah sama, tiada keutaaman orang arab atas bukan arab, tiada keutamaan kulit putih keatas kulit hitam melainkan Taqwa.

Ibadah Haji juga membantu kearah penyebaran Dakwah Islamiyyah dan memperkukuh gerak kerja para daie berlandaskan dakwah yang dicetuskan oleh Nabi saw dimana baginda memulakan dakwahnya kepada rombongan-rombongan Haji yang tiba tiap tahun ke Mekah.

Namun perlu dimaklumkan disini bahawa, ibadah Haji tidak dituntut untuk diadakan padanya suatu muktamar rakyat besar-besaran untuk membahas soal politik negara. Hal ini kerana soal rencana politik dalam Islam adalah tanggungjawab para pemimpin serta mereka yang merupakan ahli pakar dalam perkara tersebut. Para pemimpin serta majlis perwakilan rakyatlah adalah rujukan dalam membincangkan soal strategi politik. Bahkan ibadah Haji ini membuatkan ribuan demi ribuan ummat Islam tiba ke Tanah Suci maka mustahil untuk diambil pandangan tiap mereka dalam isu melibatkan politik. Oleh yang demikian, soal rencana politik dan meletakkan dasar manhaj Islam adalah terikat dengan para pemimpin ummat dan bukanlah diatas tangan tiap-tiap rakyat biasa yang tidak mempunyai pengaruh dan kuasa. (Pun demikian, rakyatlah yang berkuasa melantik pemimpin dan suara mereka wajib diambil peduli oleh para pemimpin)

 

Potongan dari bab faedah dan keutamaan Haji dari kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu oleh Almarhum Dr Wahbah Al-Zuhaili.

Terjemahan oleh

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela &Peguamcara, Peguam Syarie

Comments