Benarlah Firman Allah, dan telah berdusta Si Burqiba !!

 

Benarlah Firman Allah, dan telah berdusta Si Burqiba !!

Pada tahun 1966, Presiden Tunisia Ketika itu iaitu Al-Habib Burqibah melakukan siaran televisyen kepada semua khalayak Tunisia sambil menunjukkan beliau meminum segelas air jus di siang bulan Ramadhan lalu menyeru rakyat muslimin Tunisia untuk meninggalkan ibadah Puasa kerana menganggap ia menghalang produktiviti negara. Bahkan Burqiba turut menyeru dengan sinis

“Berbuka puasalah kalian, agar kalian mampu berhadapan musuh kamu semua!”

Untuk menjayakan kempen batilnya, beliau mengarahkan ilmuwan ulung Al-Allamah Al-Sheikh Muhammad Al-Tohir ibnu Asyur merangkap dekan Jamiah Al-Zaituniyyah, sebuah Universiti Islam yang termasyhur untuk mengeluarkan fatwa bahawa diharuskan berbuka puasa pada siang Ramadhan walaupun tanpa keuzuran syarie.

Maka Sang Imam yang bertaqwa ini bersetuju dan pegawai-pegawai Burqiba girang sekali kerana menyangka beliau akan menyokong kempen batil tersebut. Semasa tiba masanya untuk bersiaran langsung mengenai isu penting ini, beliau pun memulakan ucapannya

Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa, selawat dan salam keatas Nabi yang terakhir. Amma Ba’d

Ketahuilah hai ummat Muslimin, bahawa berbuka puasa di siang Ramadhan tanpa keuzuran syarie adalah dilarang dalam Hukum Syarak dan mengingkari kefardhuan Puasa bulan Ramadhan adalah sama seperti mengingkari perkara yang sudah maklum dalam agama secara dharurah.

Allah swt berfirman


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (QS. Al Baqarah: 183)

Beliau juga turut berkata

“Barangsiapa yang mengingkari walau satu rukun dalam rukun-rukun Islam, maka dia telah jatuh kafir dan layak dihukum bunuh kerana kekufurannya serta tidak boleh dikuburkan jasadnya di tanah perkuburan orang Islam”

Lalu Sheikh pejuang ini menutup ucapannya dengan kalamnya

“benarlah firman Allah, dan telah berdusta si Burqiba, Benarlah firman Allah dan telah berdusta si Burqiba, Benarlah firman Allah dan telah berdusta si Burqiba”

Maka Si Burqiba yang tercela marah dan telah memaksa dengan kuasanya agar Al-Imam Muhammad Al-Tohir Ibnu Asyur bersara dari jawatan dekan fakulti Shariah dan Usul Al-Din Al-Jamiah Al-Zaituniyyah yang disandangnya dan mengarahkan agar Sang Imam Pejuang ini dikenakan tahanan dalam rumah. Kemudian tidak cukup setakat itu, Burqiba yang tercela ini telah menutup Al-Jamiah Al-Zaituniyyah. Media-media pro Burqiba dan ejen-ejen Penjajah Perancis mengambil peluang menyemarakkan kempen kebencian keatas Al-Jamiah Al-Zaituniyyah yang telah ditubuhkan sejak 737 Masihi dan merupakan tempat dimana pejuang-pejuang kemerdekaan Tunisia keluar untuk menentang Perancis yang menjajah tanah air mereka.

Moga Allah merahmati Al-Imam Muhammad Al-Tohir ibn Asyur dan memelihara Masjid atau Al-Jamiah Al-Zaituniyyah sebagai sebuah pusat keilmuwan Islam yang gemilang.

Rujukan :- 

https://www.youtube.com/watch?v=JfK1EpH20SU

https://www.aljazeera.net/.../%D8%AC%D8%A7%D9%85%D8%B9...


Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie




Comments