Musnid sekalian ufuk, Sheikhul Islam yang tawaduk Abu Al-Waqti As-Sijziy

 


Musnid sekalian ufuk, Sheikhul Islam yang tawaduk Abu Al-Waqti As-Sijziy

Beliau adalah Asy-Syeikh, Al-Imam, Al-Zahid, Al-Sufi, Syeikhul Islam, Musnidul Afaq Abu Al-Waqti As-Sijziy Abdul Awwal ibn Asy-Syeikh Al-Muhaddith Al-Muammar Abi Abdillah Isa bin Syuaib bin Ibrahim As-Sijziy. Beliau dilahirkan pada tahun 358 Hijrah di Sijistan. Beliau telah menuntut ilmu dan mendengar hadis Sahih Bukhari, Kitab Hadis Imam Ad-Darimi, Muntakhab Musnad Abd ibn Humaid selama tujuh tahun dengan Al-Imam Jamalul Islam Abi Al-Hasan Abdul Rahman ibn Muhammad Ad-Dawudi. Beliau juga menghabiskan banyak usianya menuntut ilmu dan mempelajari Hadis dari sebilangan besar ulama dan ahli Hadis di zamannnya.

Beliau juga gigih meriwayatkan Hadis dan mengajar ilmu agama di Khurasan, Asfahan, Kirman, Hamazan, dan juga di Baghdad. Nama beliau sangatlah masyhur dan harum sehingga berbondong-bondong para penuntut ilmu dan Hadis menadah ilmu darinya bahkan beliau juga memegang Isnad yang tinggi. Diantara pelajar-pelajarnya yang terkenal adalah Al-Imam Ibnu Asakir, Al-Imam As-Sam’ani, Al-Imam Ibnul Jauzi, Al-Imam Yusuf bin Ahmad Asy-Syirazi, Al-Imam Sufyan ibn Ibrahim ibn Mandah, Al-Imam Abu Zar Suhail ibn Muhammad Al-Busyanji dan ramai lagi pelajarnya yang juga memegang pangkat Imamah dalam ilmu agama.

Telah berkata Al-Imam Al-Muhaddith Zakiyyudin Al-Birzali bahawa Sheikhul Islam Al-Imam Abul Waqti As-Sijziy telah merantau Iraq dan Kazakhstan, dan meriwayatkan Hadis di Harah, Malin, Busyanj, Kirman, Yazda, Asfahan, Al-Karja, Faris, dan Hamazan. Bahkan diantara mereka yang hadir ke majlis pengajiannya adalah para Al-Hafiz dalam Hadis dan juga para pemimpin kerajaan.

Telah berkata seorang Imam yang masyhur yang juga merupakan pelajarnya Al-Imam Abu Saad As-Sam’ani, gurunya iaitu Al-Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy adalah seorang guru yang soleh, namanya masyhur dan mempunyai peribadi yang mulia, seorang yang peramah dan tawaduk, beliau amat suka untuk menuntut ilmu dan mendampingi Al-Imam Abdullah Al-Ansari di Busyanj bahkan beliau berkhidmat untuknya bagi beberapa tempoh. Beliau juga bermusafir ke Iraq, Kazakhstan dan Basrah (demi khidmat kepada ilmu). Beliau juga amatlah penyabar dalam ilmu serta cinta akan periwayatan Hadis.

Al-Imam Ibnul Jauzi yang juga merupakan pelajarnya turut berkata bahawa Al-Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy adalah seorang yang amat penyabar dalam Ilmu, beliau juga seorang yang soleh, banyak berzikir, bertahajjud dan menangis keinsafan, beliau juga memiliki ciri-ciri ulama Salafus Soleh dan suatu ketika beliau berazam untuk menunaikan Haji lalu beliau menyiapkan segala persediaan namun akhirnya beliau wafat sebelum sempat menyempurnakan ibadah tersebut.

Al-Imam Yusuf ibn Ahmad Asy-Syirazi yang merupakan pelajarnya pernah bermusafir untuk menuntut ilmu dari gurunya Al-Imam Abul Waqti As-Sijziy di Kirman. Beliau menceritakan pengalamannya bertemu dengan gurunya :

“Aku telah bermusafir untuk bertemu dengan guru kami Sang Pengembara dunia dan Musnid yang agung zaman itu Abu Al-Waqti lalu Allah menentukan aku bertemu dengannya di Kirman maka ketika aku berjumpa dengannya aku memberi salam dan menciumnya serta duduk dihadapannya. Lalu Al-Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy berkata kepadaku :-

“Apakah yang menyebabkan kamu datang ke negeri ini?”

Aku menjawab “Niatku adalah untuk bertemu dan menuntut ilmu darimu, aku telah menulis beberapa hadis yang juga diriwayatkan oleh kamu namun aku berusaha untuk menemuimu untuk aku memperoleh keberkatan menuntut ilmu darimu dan memperoleh Isnad yang tinggi (kerana Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy memiliki sanad aliy yakni yang tinggi bagi banyak hadis)”

Lalu Al-Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy berkata “Moga Allah memberi tawfiq kepadamu dan kepada kami untuk mencapai redhaNya, dan menjadikan curahan usaha kita semua demiNya semata-mata. Jika kamu mengenali aku dengan sebenar-benarnya nescaya kamu tidak akan mengucapkan salam kepadaku, nescaya kamu tidak akan duduk dihadapanku”. Kemudian beliau menangis dengan tangisan yang panjang lalu disusuli tangisan mereka yang berada di sekitarnya, lantas beliau berkata: -

“Ya Allah, tutuplah keaibanku dengan keindahan, dan jadikanlah apa yang disebalik yang ditutupi itu apa yang Engkau redha akan kami”

“Wahai anakku, ketahuilah olehmu bahawa aku juga telah berjalan kaki bermusafir bersama-sama ayahku untuk mendengar periwayatan Hadis Sahih Bukhari dari Harah ke Al-Dawuudi di Busyanj. Ketika itu umurku bawah 10 tahun dan ayahku meletakkan pada kedua tanganku dua biji batu yang berat lantas berkata kepadaku “bawalah keduanya”. Maka aku membawanya kerana takut akan ayahku dan ketika aku sedang berjalan kaki dengannya, beliau akan memperhatikan aku. Jika beliau melihat aku mula menjadi sukar membawa kedua batu itu beliau menyuruhku membuang salah satu batu tersebut lalu aku membuang satu dari kedua batu itu. Maka aku meneruskan perjalananku hingalah aku menjadi kepenatan lantas ayahku berkata “Adakah kamu penat?” lalu aku menjawab dengan ketakutan padanya “Tidak”. Ayahku berkata lagi “Oleh yang demikian mengapa kamu menjadi sukar untuk berjalan?”

Lalu aku mempercepatkan langkahku selama beberapa lama kemudian aku kembali kepenatan, lantas ayahku mengambil batu yang masih berbaki pada tanganku lalu membuangnya. Selepas itu aku meneruskan perjalananku hinggalah aku kembali kepenatan maka ketika itu ayahku mengambilku dan mengangkatku”

“Selanjutnya kami bertemu dengan sekumpulan petani lalu mereka berkata “Wahai Sheikh Isa (bapa Abul Waqti As-Sijziy) berilah kami budak kecil ini untuk kami tunggangkannya dan kamu atas tunggangan kami hingga kalian sampai ke Busyanj”

Lalu ayahku berkata “Moga Allah lindungi kami dari menunggang kenderaan untuk menuntut ilmu Hadis Rasulullah saw, kami akan tetap berjalan kaki jika anakku tidak larat aku akan meletakkannya diatas kepalaku, kesemua ini demi memuliakan Hadis Rasulullah saw dan mengharapkan ganjaran dari Allah swt”

“Maka natijah atas ketulusan niat ayahku, aku telah mengambil manfaat yang banyak dari mempelajari Hadis dan ilmu selainnya dan tiada lagi yang tinggal dari teman-teman seperjuanganku melainkan aku sahaja hingga ramailah penuntut ilmu yang datang menemuiku dari banyak negeri”

Kemudian Al-Imam Abul Waqti As-Sijziy mengisyaratkan kepada salah seorang pelajarnya Abdul Baqi ibn Abul Jabbar Al-Harawi untuk menghidangkan halwa manisan kepadaku (Yakni Al-Imam Yusuf bin Ahmad Asy-Syirazi yang masih meriwayatkan kisahnya dengan gurunya) lalu aku berkata :-

“Wahai tuanku, menuntut ilmu darimu lebih aku cintai dari memakan halwa ini” lalu senyumlah guruku lantas berkata:-

“Apabila makanan telah terhidang, nescaya keluarlah kalam”. Lalu kami pun memakan halwa yang dihidangkan. Aku telah berkhidmat dengan guruku ini beberapa tempoh yang lama sehinggalah beliau wafat di Baghdad pada malam Selasa, 6 Zulkaedah tahun 553 Hijrah. Guruku berpesan supaya disemadikannya di bawah kaki-kaki guru-gurunya di perkuburan Asy-Syuniziyyah lalu kami tunaikan hasratnya.

“Apabila guruku dilanda sakaratul maut, beliau masih cekal berzikir lalu datanglah Muhammad ibn Al-Qasim As-Sufi dan berkata “Wahai tuanku, telah bersabda Nabi saw:

“Barangsiapa yang diakhir kalamnya adalah La ilaha illAllah nescaya akan masuk syurga”

“Maka guruku membukakan matanya lantas membacakan ayat 26 dan 27 Surah Yasin

قِيْلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۗقَالَ يٰلَيْتَ قَوْمِيْ يَعْلَمُوْنَۙ

بِمَا غَفَرَ لِيْ رَبِّيْ وَجَعَلَنِيْ مِنَ الْمُكْرَمِيْنَ

“Dikatakan (kepadanya), “Masuklah ke syurga.” Dia (laki-laki itu) berkata, “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang yang telah dimuliakan.” (Surat Yasin Ayat 26-27)

Lalu terkejutlah Muhammad ibn Al-Qasim As-Sufi  dan orang yang berada disekitar guruku, dan beliau berterusan membaca Surah tersebut hingga tamat lantas berkata “ Allah, Allah, Allah” lalu kembalillah beliau ke rahmatullah sedang beliau duduk diatas sejadah, rahmat Allah keatasnya”

Moga bingkisan singkat ini memperkenalkan kita akan sosok ulama agung ini iaitu Al-Imam Abu Al-Waqti As-Sijziy yang penuh tawaduk dan warak namun punya sumbangan besar dalam dunia Islam dan ummatnya. Moga Allah taala merahmati imam ulung ini dan melahirkan ramai penggantinya yang berjuang membela sunnah Nabi dan ajarannya.

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Rujukan : Safahat min Sabril Ulama Ala Syadaid Al-Ilmi Wa At-Tahsil oleh Almarhum Al-Imam Abdul Fattah Abu Al-Ghuddah


Comments