Peguambela, Baju Besi dan Tepung

 

Peguambela, Baju Besi dan Tepung

Tanpa prejudis kepada peguam-peguam bela yang jujur dan amanah menolong mahkamah menegakkan keadilan,yang berjuang untuk mendapatkan hukuman setimpal dan mitigasi. Kita tidak boleh menafikan bahawa  ada yang niat mereka mahu membebaskan anakguam mereka yang memang melakukan jenayah.

Untuk itu Allah taala berfirman

{ إِنَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَیۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَاۤ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَاۤىِٕنِینَ خَصِیمࣰا }

[Surah An-Nisâ': 105]

We have sent down to thee the Book in truth, that thou mightest judge between men, as guided by Allah: so be not (used) as an advocate by those who betray their trust;

Al-Imam Al-Baghawi di dalam tafsirnya berkata bahawa ayat ini diturunkan berdasarkan kepada kes kecurian yang berlaku di zaman Rasulullah saw. Suatu hari, ada seorang lelaki dari kaum Ansar bernama Tu'mah bin Ubairiq dari suku Zafr bin Al-Harith telah mencuri baju besi kepunyaan Qatadah bin Nu'man. Pada baju besi itu ada bekas kecil yang dalamnya ada tepung, maka ianya jatuh sedikit sedikit melalui kesan koyak pada bekas itu sewaktu Tu'mah mencurinya dan membawanya ke rumah. Namun, Tu'mah menyorokkan baju besi dan memberikan kepada seorang lelaki Yahudi yang bernama Zaid bin As-Samin.

Maka orang mulalah mencari baju besi yang hilang itu lantas menyoal Tu'mah kerana kesan tepung itu nampak di rumahnya dimana dia bersumpah atas nama Allah dia tidak mencurinya dan tiada dia tahu akan hal baju besi itu. Lalu mereka menuruti kesan tepung itu dan menjumpainya pada si Zaid bin As-Samin. Lalu Zaid berkata baju besi itu diberikan kepadaku oleh Tu'mah bin Ubairiq!.

Lalu Bani Zafr bin Al-Harith bertemu Rasulullah saw dan mendesak agar Rasulullah saw membela Tu'mah. Mereka juga berkata "jika engkau tidak membelanya maka menjadi malu dan hinalah Tu'mah". Menurut Kitab Asbabun Nuzul Lil Wahidiy, bahawa terdapat sekumpulan orang Yahudi yang menjadi saksi bagi Zaid bin As-Samin. Maka, sebelum sempat Rasulullah saw membuat sebarang keputusan, turunlah ayat An-Nisa' 105 diatas menegah Rasulullah saw dari menjadi pembela bagi orang yang benar-benar salah demi untuk membebaskannya dari hukuman.

Maka berkatalah Imam As-Sa'di didalam tafsirnya

ففي هذا دليل على تحريم الخصومة في باطل، والنيابة عن المبطل في الخصومات الدينية والحقوق الدنيوية. ويدل مفهوم الآية على جواز الدخول في نيابة الخصومة لمن لم يعرف منه ظلم.

Maka ayat ini menjadi otoriti pengharaman dalam membela kebatilan. Samada menjadi pembela untuk kebatilan dalam soal pertelingkahan agama mahupun urusan dunia. Ayat di atas juga menunjukkan mafhumnya akan keharusan untuk membela seseorang yang tiada padanya kezaliman atau kesalahan.

Imam Al-Qurtubi juga berkomentar dengan menaqalkan pesan ulama didalam Tafsirnya

قَالَ الْعُلَمَاءُ: وَلَا يَنْبَغِي إِذَا ظَهَرَ لِلْمُسْلِمِينَ نِفَاقُ قَوْمٍ أَنْ يُجَادِلَ فَرِيقٌ مِنْهُمْ فَرِيقًا عَنْهُمْ لِيَحْمُوهُمْ وَيَدْفَعُوا عَنْهُمْ، فَإِنَّ هَذَا قَدْ وَقَعَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَفِيهِمْ نَزَلَ قَوْلُهُ تَعَالَى: ﴿وَلا تَكُنْ لِلْخائِنِينَ خَصِيماً﴾ وَقَوْلُهُ: (وَلا تُجادِلْ عَنِ الَّذِينَ يَخْتانُونَ أَنْفُسَهُمْ)

Telah berkata para Ulama : Maka tidak boleh bagi kaum Muslimin menjadi pembela dan berhujah untuk sesuatu kaum, apabila telah nyata padanya kemunafikan mereka. Hal ini kerana perkara ini telah berlaku di zaman Nabi saw maka turunlah ayat An-Nisa' 105 dan ayat

{ وَلَا تُجَـٰدِلۡ عَنِ ٱلَّذِینَ یَخۡتَانُونَ أَنفُسَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِیمࣰا }

[Surah An-Nisâ': 107]

Dan janganlah kamu berdebat untuk (membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat dan bergelumang dosa,

Pesanan akhir,telah bersabda Rasulullah saw

وعن أُمِّ سَلَمةَ رضي اللَّه عنها: أَنَّ رَسُول اللَّه ﷺ قَالَ: إِنَّمَا أَنَا بشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ؛ فأَقْضِي لَهُ بِنحْوِ مَا أَسْمَعُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بحَقِّ أَخِيهِ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ مُتَّفَقٌ عَلَيهِ.

"Sesungguhnya aku hanyalah manusia, dan kamu membawa kes kamu kepadaku. Boleh jadi sebahagian kamu lebih lancar berhujjah dari pihak lawannya, maka aku memberi keputusan atas apa yang aku nilai dari hujjah yang ku dengar. Maka sesiapa yang mana aku telah berikan keputusan memihak kepadanya sedangkan dia tak layak untuk itu maka sebenarnya aku telah pun memotong satu bahagian dari azab api neraka ke atasnya" riwayat Bukhari dan Muslim.

Rujukan :-

1)      Asbabun Nuzul Al-Quran oleh Al-Imam Ali bin Ahmad Al-Wahidi

2)      Maalimut Tanzil @ Al-Tafsir Al-Baghawi,  oleh Al-Imam Husayn ibn Mas’ud Al-Baghawi

3)      Al-Jami’ Li Ahkamil Quran oleh Al-Imam Abu Abdullah Al-Qurtubi

4)      Taysir Al-Karim Al-Rahman fi Taysir Kalam Al-Mannan oleh Al-Imam Abdul Rahman Al-Sa’di


Disediakan oleh :-

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

BC/O/512

 

Comments