Sheikhul Islam Ibnu Taymiah dari pena Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi

 


Sheikhul Islam Ibnu Taymiah dari pena Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi

Dalam jilid 2 kitab Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam, Maulana Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi mengkhususkan jilid tersebut untuk Sheikhul Islam Ibnu Taymiah rahimahullah. Terdapat satu bab khusus yang menarik dimana beliau menerangkan Sebab-Sebab Penentangan terhadap Ibnu Taymiah di antara pengkritiknya dan pembelanya.  (أسباب معارضة ابن التيمية بين نقاده والمدافعين عنه)

Dalam bab unik ini, adalah sangat menakjubkan apabila Maulana menyatakan antara sebab-sebab Ibnu Taymiah mendapat tentangan yang teruk adalah kerana beliau mempunyai tingkatan pemikiran dan keilmuan yang tinggi (brilliant). Lantaran itu mereka yang sezaman dengannya tidak mampu menggarap  ideanya dan sukar nak menerima buah fikirannya.

Maulana mengatakan Ibnu Taymiah apabila mengkritik, maka sangatlah pedih kritikannya serta menjelaskan terus kesilapan seseorang dalam pandangannya. Pernah sekali seorang ulama bernama Abu Hayyan Al-Mufassir, seorang tokoh dalam ilmu Nahu pada awalnya amat mengkagumi Ibnu Taymiah hingga beliau mendendangkan syair memujinya. Pada suatu ketika selepas habis majlis Ibn Taymiah, Abu Hayyan al-Mufassir berdiskusi dengan Ibnu taymiah tentang isu Nahu dan beliau berhujah menggunakan pandangan Imam Sibaweyh sambil menyangkakan nama itu akan mendiamkan Ibnu Taymiah  dari hujahannya. Namun Ibnu Taymiah terus menembak:-

"Sesungguhnya Sibaweyh bukanlah seorang Nabi dalam Nahu iaitu bebas dari kesilapan, bahkan beliau ada melakukan kesilapan pada sekian-sekian isu pada 80 tempat, dan kamu pula tidak cukup bijak untuk perasan kesilapan tersebut".

Kata-kata pedih itu terus melukakan hati Abu Hayyan Al-Mufassir lalu mengeluarkan syair pujian bagi Ibnu taymiah dari diwannya bahkan beliau menjadi pengkritik beliau.

Selain itu, antara sebab Ibnu Taymiah diserang adalah kerana ketajamannya menyelar fahaman yang dibawa Ibnu Arabi. Maulana menyatakan tindakan menyerang Ibnu Arabi merupakan suatu dosa yang tidak boleh diampunkan bagi pengkagum-pengkagumnya lebih-lebih lagi kaum sufi yang ghuluw. Sedangkan Ibnu Taymiah bukan keseorangan dalam mengkritik Ibnu Arabi, kerana Imam Ahmad bin Abdul Ahad As-Sirhindiy iaitu seorang imam mujaddid ulung serta imam Tariqat Naqshabandiyyah menyerang fahaman Ibnu Arabi yang keluar dari Ahli Sunnah. Anakanda Imam Al-Alusi iaitu Imam Na'man Al-Alusi menyenaraikan para imam yang tidak bersetuju dengan Ibnu Arabi antaranya Imam Sakhawi, Imam At-Tifzaniy, Mulla Ali Qari, Ibn Hajar Al-Asqalani, Abu Hayyan Mufassir, Izzuddin ibn Abdus Salam, Abu Zur'ah Al-Iraqi, Imam Sirajuddin Al-Bulqini dan lain-lain.

Terdapat banyak lagi sebab yang diutarakan Maulana, mengapa Ibnu Taymiah dibenci dan diserang, dan yang paling bahayanya adalah penulisan-penulisan Ibnu Taymiah disumbat dengan petikan-petikan dan kalam yang bukan darinya hasil dari Tindakan jahat orang yang dengki kepadanya. Tambahan pula, fitnah dan khabar angin menyatakan Ibnu Taymiah berkata dengan kalam yang kontroversi juga menular luas dek kerana fitnah yang tersebar yang dijaja atas namanya. Hingga ada ulama yang berpegang dengan khabar demikian untuk memfatwakan Ibnu Taymiah sesat. Antaranya Imam Ibnu Hajar Al-Haytami Al-Makki. Namun Maulana mengulas fatwa tersebut dengan berkata dari fatwa itu jelas menunjukkan Ibnu Hajar Al-Makki tidak meneliti penulisan-penulisan Ibnu Taymiah dan hanya bergantung kepada khabar angin yang menular ketika itu dan dihujung fatwanya juga ada menunjukkan syak Ibnu Hajar Al-Makki iaitu dengan ibaratnya "jika benar Ibnu Taymiah katakan begini moga Allah menghukumnya seadilnya".

Namun Anakanda Imam Alusi iaitu Imam Al-Allamah Khairudin Na'man Al-Alusi bangkit dan menilai penulisan Ibnu Taymiah dan fatwa Ibnu Hajar Al-Makki lalu beliau mengkritik Ibnu Hajar Al-Makki dan berkata sumber rujukan fatwa itu adalah dari kata-kata orang yang palsu dan tipu serta bukan dari asas kebenaran.

Terdapat banyak lagi para ulama dan imam yang bangkit mempertahankan Ibn Taymiah dari fatwa tersebut hinggakan anak murid Ibn Hajar Al-makki iaitu Al-Imam Mulla Ali Al-Qari mengkritik fatwa gurunya dan memuji Ibnu Taymiah bahkan berkata

"Sesungguhnya Ibnu Hajar Al-Makki dan Ibn Taymiah adalah dari tokoh agung Ahli Sunnah dan wali dari wali-wali ummah".

Tidak cukup sekadar itu, Maulana juga membawa kalam Imam Ahmad bin Abdul Rahim Ad-Dehlawi (digelar sebagai Syah Waliyullah Ad-Dehlawi pengarang kitab Hujatullah Al-Balighah yang terkenal) yang mempertahankan Ibn Taymiah sebagai tokoh ulung Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Maulana menutup bab ini dengan memetik kalam Imam Syah Waliyullah Ad-Dehlawi

"Oleh yang demikian yakinlah kami bahwa Sheikhul Islam Ibnu Taymiah moga Allah merahmatinya adalah ilmuwan dalam Kitabullah dan pembela Sunnah Nabi, seorang yang dalam pengetahuannya dalam Lughah, Nahu dan Balaghah, menguasai Mazhab Hanbali, seorang yang melampaui darjat kecerdikan (Faiqun fiz zaka'), dan barangsiapa yang menyerangnya tidaklah mencapai 1/10 dari apa yang Allah berikan kepada Ibnu Taymiah. Adapun perselisihan ulama terhadap pandangan Ibnu Taymiah adalah seperti diskusi antara sahabat-sahabat Rasulullah saw, dan yang menjadi kewajipan kita adalah menahan lisan kata selain untuk berkata yang baik-baik"

Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi menuntaskan isu ini dengan kalamnya sendiri diatas:-

لهو القول الفصل في هذا الموضوع"

"Sememangnya komen Imam Syah Waliyullah Ad-Dehlawi merupakan komentar yang konklusif dalam menafikan kesesatan Ibnu Taymiah"

 

Rujukan : Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam, karya Maulana Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi

Disediakan oleh;

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Comments