Pesan Almarhum Sheikh Yusuf Al-Qaradawi pada penghujung Ramadan

 


Pesan Almarhum Sheikh Yusuf Al-Qaradawi pada penghujung Ramadan

Maka sudah sampai kita kepada penghujung Ramadan sedangkan sebelum ini kita bersiap sedia untuk menyambut bulan Ramadan. Alangkah cepatnya masa berlalu di antara waktu pertemuan dan perpisahan. Hari-hari berlaku umpama berlalunya awan, dan beginilah pantasnya berlalu hari-hari kebaikan. Beruntunglah orang yang memanfaatkan hari-hari kebaikan ini, dan celakalah orang yang apabila berlalunya hari-hari tersebut namun tidak memanfaatkannya serta tidak menambahkan sebarang bekal kebaikan di sisi Allah Azza wa Jalla. Nabi saw bersabda di dalam satu hadis:

"أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرُ بَرَكَةٍ، فِيهِ خَيْرٌ يُغَشِّيكُمُ اللَّهُ فِيهِ، فَتَنْزِلُ الرَّحْمَةَ، وَتُحَطُّ الْخَطَايَا، وَيُسْتَجَابُ فِيهِ الدُّعَاءُ، فَيَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى تَنَافُسِكُمْ، وَيُبَاهِي بِكُمْ مَلَائِكَتَهُ، فَأَرُوا اللَّهَ مِنْ أَنْفُسِكُمْ خَيْرًا، فَإِنَّ الشَّقِيَّ مِنْ حُرِمَ فِيهِ رَحْمَةَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

 “Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang penuh barakah, padanya itu kebaikan yang Allah liputikan kalian, pada bulan itu turunnya rahmah dan digugurkan dosa, dimakbulkan pada bulan itu akan doa, oleh yang demikian Allah akan melihat kepada usaha kalian, dan Dia akan berbangga akan kalian pada MalaikatNya, maka tunjukkanlah diri kamu dengan perkara yang baik kepada Allah, kerana orang yang celaka itu adalah dia yang diharamkan pada bulan ini rahmat Allah Azza wa Jalla” (Riwayat Tabrani)

Janganlah kamu mensia-siakan peluang agung ini!

Orang yang celaka sebenarnya adalah dia yang diharamkan untuk mendapatkan rahmat Allah pada bulan Ramadan. Hal ini kerana rahmat Allah ini akan dibahagikan antara hamba-hambaNya, dan pengampunan Allah juga akan dibahagikan, namun orang yang celaka adalah dia yang miskin yakni tiada padanya bahagian langsung dari rahmat dan pengampunan. Ini berdasarkan kepada doa yang dibacakan Malaikat Jibril dan diaminkan oleh Nabi Muhammad saw, doa ini dibacakan oleh penghulu langit(Jibril as) dan diaminkan oleh penghulu bumi (Nabi saw) sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Tabrani

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ، وَصَعِدَ الْمِنْبَرَ، فَقَالَ: "آمِينَ، آمِينَ، آمِينَ"، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَقَدْ رَأَيْنَاكَ، صَنَعْتَ شَيْئًا مَا كُنْتَ تَصْنَعُهُ. فَقَالَ: "إِنَّ جِبْرِيلَ تَبَدَّى لِي فِي أَوَّلِ دَرَجَةٍ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ، فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ، فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ، ثُمَّ أَبْعَدَهُ، فَقَالَ: فَقُلْتُ: آمِينَ. ثُمَّ قَالَ لِي، فِي الدَّرَجَةِ الثَّانِيَةِ: وَمَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ، ثُمَّ أَبْعَدَهُ، فَقُلْتُ: آمِينَ، ثُمَّ تَبَدَّى لِي فِي الدَّرَجَةِ الثَّالِثَةِ، فَقَالَ: وَمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ، فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ، ثُمَّ أَبْعَدَهُ، فَقُلْتُ: آمِينَ

“Bahawasanya Rasulullah saw ketika menaiki mimbar baginda menyebut “amin, amin, amin”. Apabila baginda beredar maka sahabat bertanyakan “Wahai Rasulullah, kami melihat kamu melakukan sesuatu yang belum pernah kami melihat kamu melakukannya sebelum ini?”. Lalu baginda saw menjawab “ Sesunguhnya Jibril menjelma kepadaku ketika aku menaiki anak tangga pertama mimbar lalu berkata “Wahai Muhammad barangsiapa yang mempunyai ibu bapa namun dia masih tidak memasuki syurga (kerana tidak berbakti kepada ibu bapa) nescaya Allah akan menjauhkan dia dari rahmatNya”. Lalu baginda menjawab “amin”. Kemudian Jibril menyebut ketika Nabi saw menaiki anak tangga kedua mimbar “Barangsiapa yang sempat memasuki bulan Ramadan kemudian dia masih tidak diampunkan Allah, nescaya Allah menjauhkan dia dari rahmatNya” maka Nabi saw menjawab “amin”. Kemudian apabila Nabi saw menaiki anak tangga ketiga, Jibril menyebut “barangsiapa yang apabila engkau disebut pada sisinya namun dia tidak berselawat ke atasmu nescaya Allah akan menjauhkan dia dari rahmatNya,” kemudian baginda saw menjawab “amin”.

 

 Alangkah ruginya seseorang apabila dia tidak berusaha untuk melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan,  melakukan Qiyam, menghidupkan Lailatul Qadar lalu dia terlepas ganjaran penghapusan dosa-dosanya yang terdahulu.

Berpuasalah dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada rahmat Tuhan nescaya kamu menjadi mereka yang berjaya! Adakah ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan ini suatu yang sangat sukar dan mustahil? Tidak sama sekali demi Allah, barangsiapa yang mahukan ganjaran Ramadan dengan kemampuannya maka puasalah dengan keimanan dan pengharapan, perutnya hendaklah berpuasa, kemaluannya juga berpuasa, lidahnya juga berpuasa, matanya juga berpuasa, telinganya juga berpuasa, anggota badannya juga berpuasa dari melakukan perkara yang diharamkan Allah. Nabi saw bersabda dalam riwayat Bukhari

"من لم يدع قول الزور والعمل به، فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه.

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan tutur kata dusta dan melakukan perkara dengan dusta maka bagi Allah tiada nilai pada puasanya yang menahan diri dari makan dan minuman”

Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan redha Allah, dan membenarkan apa yang dijanjikan Allah, serta mahukan ganjaran disisi Allah maka dia tidak akan berpuasa semata-mata ianya adalah adat kebiasaannya atau atas dasar ianya amalan keluarganya. Nabi saw bersabda pada hadis Bukhari dan Muslim:-

"من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه"

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan segala dosanya yang terdahulu”. Maka jika dia berpuasa dengan penuh pengharapan akan ganjaran Allah maka dia telah menunaikan hak puasa dan dia akan keluar dari Ramadan dengan mendapat keampunan Allah akan segala dosa yang lampau. Adapun perkara yang akan datang maka Allah lah Yang Maha Mengetahui, dan cukuplah bagi kamu menjaminkan rekod lampau kamu yang bersih tanpa sebarang dakian dosa. Barangsiapa yang mendapat kebaikan sedemikian maka dialah orang yang bahagia.

Nabi saw juga bersabda dalam hadis Bukhari dan Muslim

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

“Barangsiapa yang melakukan Qiyam pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan segala dosanya yang lampau”. Kita semua berharap kepada Allah wahai saudaraku sekalian agar kita menjadi orang yang hadir di masjid, konsisten melakukan solat Tarawih dengan sejuzu’ Al-Quran, agar kita menjadi mereka yang mendirikan Qiyamullail dengan penuh keimanan dan pengharapan lalu keluar dari Ramadan dengan pengampunan penuh Tuhan. Kita sudah menghampiri waktu penuaian hasil amal kita, dahulunya kita bercucuk tanam, sepanjang bulan kita bercucuk tanam, dan diakhir Ramadan kita akan menuai hasil amal kita.

Tanda diterimanya amal

Waktu penuaian hasil itu tidak semestinya pada hari Akhirat semata-mata, bahkan manusia juga akan menuai sebahagian dari usaha dan amalnya di dunia ini. Kamu akan dapati cahaya pada hatimu, kelapangan dadamu, diberi petunjuk untuk melakukan kebaikan, diberi taufiq untuk menunaikan amal soleh selepas Ramadan, kamu dapati diri kamu sentiasa dipimpin untuk melakukan amal kebaikan selepas berlalunya Ramadan yang mulia. Oleh itu, tanda amal diterima adalah kamu dipimpin Tuhan untuk melakukan kebaikan selepas Ramadan. Allah swt berfirman di dalam Surah Maryam ayat 76

وَيَزِيدُ اللَّهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا هُدًى وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ مَرَدًّا

“dan Allah menambahkan hidayah bagi mereka yang berpegang kepada petunjuk Tuhan, dan amal kebaikan yang kekal itu lebih baik disisi Tuhanmu sebagai suatu ganjaran dan lebih baik kesudahannya”. 


Maka orang yang diberi taufiq untuk melakukan kebaikan adalah antara tanda dekatnya dirinya kepada Allah selepas Ramadan. Namun terdapat juga manusia selepas Ramadan tidak lagi berpaut kepada masjid, terputus dari membaca Al-Quran, tidak melakukan ibadah sunat lagi, tidak lagi melakukan kebaikan…pemberhentian ini adalah suatu perkara yang tidak patut sama sekali, yang diterima hanyalah apabila semangat dan keazaman itu sudah kurang, hal ini tiada masalah, maka hendaklah kita sentiasa menuju kepada Allah Azza wa Jalla, dekatkanlah kepada Nya dengan semampu mungkin, kerana inilah sifat manusia. Maka barangsiapa yang menyembah Ramadan, sesungguhnya Ramadan telah mati atau hampir kepada kematian, namun barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak mati.

Mukmin yang soleh itu sentiasa mencari akan penerimaan amalnya

Mukmin yang soleh itu bermuhasabah dan menanya dirinya “adakah amalku diterima?”. Suatu hari salah seorang dari orang soleh telah jatuh sakit, maka rakan-rakannya menziarahinya ketika mana dia sudah pada peringkat nazak. Mereka berkata “ mengapa kamu menangis hai sahabat?” kerana sang pesakit yang soleh itu menangis dengan bersangatan. Rakan-rakannya bertanya lagi “mengapa kamu menangis, kami melihat kamu melakukan solat, berpuasa, bersedekah, melakukan kebaikan, menyeru kepada yang makruf, mencegah kemungkaran”. Lalu dia menjawab “Tiada ku tahu sama ada sesuatu pun dari amalku diterima oleh Allah Taala dariku, sedangkan Allah Taala berfirman 

{إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ} [المائدة:27]

“Sesungguhnya hanyalah Allah itu menerima amal dari mereka yang bertaqwa” (Al-Maidah ayat 27), maka jika Allah menerima hanya dua rakaat dari amalku maka yang demikian itu adalah yang terbaik untukku dari sekalian dunia dan seisinya kerana dengan penerimaan dua rakaat itu bermaksud aku ini tergolong dalam kalangan yang bertaqwa dan aku tenang akan diriku”.

Oleh yang demikian, penerimaan amal itu adalah asas yang penting, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketikamana mereka membina tapak asas untuk pembinaan Kaabah yang mulia dan sejurus tamatnya dari pembinaan itu mereka berkata 

{رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ} [البقرة:127]، 

“Wahai Tuhan kami, terimalah dari kami amal kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Baqarah 127). 

Allah juga berfirman pada surah Al-Ahqaf ayat 15-16

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.”

Allah menerima dari mereka amal yang terbaik yang mereka kerjakan, maka adakah kita diterima atau ditolak? Jika diterima maka ucapkanlah Alhamdulillah.

Ketakutan jika tidak diterima Tuhan

Imam Hasan Al-Basri pernah melalui suatu kelompok pada hari Aidilfitri di mana mereka sedang asyik bergelak tawa, bergurau senda dan melakukan kelalaian, lalu berkatalah beliau “Jika Allah telah menerima amal kalian maka tindakan kalian ini bukan perbuatan orang yang bersyukur, jika Allah tidak menerima amal kalian, maka tindakan kalian ini bukan perbuatan orang yang takut amalnya ditolak Allah”. Manusia hendaklah sentiasa memautkan hatinya dengan penerimaan Allah, adakah amalnya diterima atau tidak. Allah swt berfirman berkenaan sifat orang yang bersegera melakukan kebaikan di dalam surah Al-Mukminun ayat 60

، {وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ} [المؤمنون: 60]

 “60. dan mereka yang memberikan apa yang mereka berikan (amal soleh) dengan hati penuh rasa takut (kerana mereka tahu) bahwa sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhannya,”. 

Ayat ini ditafsirkan pada hadis Nabi saw di mana Aisyah bertanyakan kepada baginda saw “adakah maksud [mereka yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati penuh rasa takut] adalah mereka yang berzina, mencuri dan meminum arak?”. Lalu baginda saw menjawab “tidak wahai anak perempuan Abu Bakar, maksudnya adalah seseorang yang berpuasa, melakukan solat, bersedekah dan dia takut sekiranya Tuhan tidak menerima amalnya”.

Perbezaan di antara orang munafiq dan mukmin

Terdapat perbezaan antara munafiq dan mukmin. Munafiq itu melakukan kejahatan dan dia mengharapkan Allah mengampunkan dirinya sepertimana Allah menceritakan perihal orang Yahudi di dalam surah Al-A’raf ayat 169

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُوا الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَذَا الْأَدْنَى وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا} [الأعراف:169]،

 “Maka setelah mereka, datanglah generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini. Lalu mereka berkata, “Kami akan diberi ampun.” Dan kelak jika harta benda dunia datang kepada mereka sebanyak itu (pula), niscaya mereka akan mengambilnya (juga). Bukankah mereka sudah terikat perjanjian dalam Kitab (Taurat) bahwa mereka tidak akan mengatakan terhadap Allah, kecuali yang benar, padahal mereka telah mempelajari apa yang tersebut di dalamnya? Negeri akhirat itu lebih baik bagi mereka yang bertakwa. Maka tidakkah kamu mengerti?," 

Inilah dia perihal munafiq, adapun orang yang beriman adalah mereka yang melakukan kebaikan dan bimbang jika amalnya tidak diterima disebabkan adanya kecacatan pada amalnya lalu menjadi terbatal seperti syarat tidak dipenuhi atau rukun tidak disempurnakan, atau tiadanya ikhlas pada amalnya kerana adanya riya’,mahukan kemasyhuran dan pujian manusia, atau memberi sedekah dan mengharapkan sebutan orang ramai, atau memberikan sedekah kepada orang miskin lalu menyebut amalnya dan melukakan perasaan orang fakir, atau adanya perasaan ujub pada amalnya lalu membatalkan amalnya. Oleh yang demikian, Imam Ibnu Atho'illah As-Sakandari telah menyebut “Boleh jadi Allah telah membukakan bagi kamu pintu ketaatan namun Dia tidak membukakan bagi kamu pintu penerimaan amal, dan boleh jadi kamu melakukan maksiat namun yang demikian itu adalah sebab kamu kembali kepada Allah, kendatipun maksiat yang mewariskan penyesalan adalah lebih baik dari ketaatan yang kamu lakukan tetapi menghasilkan takabbur dan ujub”. Ketaatan yang memperdayakan kamu hingga mengatakan “Siapakah sepertiku?”, “Siapakah sepertiku yang mampu melakukan kebaikan sekian-sekian, umrah dan haji setiap tahun”…ketahuilah yang penting adalah penerimaan amal kita wahai muslim dan muslimah sekalian, adakah amal kita selepas perjuangan berat selama sebulan diterima Allah? Maka kita ini dari golongan mana? Yang bahagia atau celaka.

 

Orang yang bahagia dan celaka

Barangsiapa yang membaca juzuk Amma nescaya akan mendapati bahawa manusia ini dibahagikan kepada dua golongan iaitu bahagia atau celaka, ahli Syurga atau Neraka, Abrar(Orang yang baik) atau Fujjar (Orang yang jahat). Allah swt berfirman dalam Surah An-Naba ayat 21-30 perihal mereka yang sengsara dan celaka:

“Sesungguhnya neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai, lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas, mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya, mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman, selain air yang mendidih dan nanah, sebagai pambalasan yang setimpal. Sesungguhnya mereka tidak berharap (takut) kepada hisab, dan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dengan sesungguh-sungguhnya. Dan segala sesuatu telah Kami catat dalam suatu kitab. Karena itu rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab.”

Kemudian, ini pula kumpulan yang berlawanan dengan kelompok yang sengsara, Allah Taala berfirman di dalam surah yang sama ayat 31 sehingga 36:-

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (iaitu) kebun-kebun.  dan buah anggur, dan gadis-gadis remaja yang sebaya. Dan gelas-gelas yang penuh (berisi minuman). Di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan tidak (pula perkataan) dusta.  Sebagai balasan dari Tuhanmu dan pemberian yang cukup banyak. Dan pemberian yang cukup banyak.”

Demikianlah, ada kelompok yang melampaui batas, dan bertaqwa, pada surah An-Naziat Allah taala berfirman pada ayat 37-41

“Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), -Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”

Kedua-dua kelompok ini jelas sekali perbezaannya, Allah juga berfirman di dalam Surah Abasa ayat 33-37:-

“Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari itu manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya.”

Kemudian pada surah Abasa juga ayat 38-42, Allah membahagikan manusia kepada dua golongan :-

“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.”

Manakala pada surah Al-Infitar ayat 13-14, Allah swt berfirman

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti benar-benar berada dalam (Syurga yang penuh) kenikmatan, dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam Neraka.”

Allah juga berfirman di dalam surah Al-Insyiqaq ayat 7-15 :-

“Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) ! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!”

Mereka yang lalai di dunia yang kononnya berbahagia dengan kelalaianya akan menanggung kegelisahan pada hari Akhirat. Hari tersebut adalah hari di mana manusia akan mengambil buku amalannya sama ada dari kanannya atau dari belakangnya, begitulah pembahagian manusia. Maka kamu berada pada golongan yang mana? Berusahalah agar kamu tergolong dalam golongan yang selamat, orang yang benar-benar bahagia mendapat Syurga, mendapat keredhaan Allah Azza wa Jalla. Salah seorang Khalifah Umayyah iaitu Hisyam bin Abdul Malik pernah berkata kepada Abu Hazim “Wahai Abu Hazim, ke manakah pengakhiranku pada hari Akhirat?” berkata Abu Hazim “Rujuklah Kitabullah di mana Allah berfirman pada Surah Al-Infitar ayat 13-14:-

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ، وَإِنَّ الْفُجَّارَ لَفِي جَحِيمٍ

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti benar-benar berada dalam (surga yang penuh) kenikmatan, dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam neraka.” Maka kamu sendiri mampu menilai pengakhiran kamu sama ada kamu hari ini orang Abrar atau Fujjar.

Wasiatku pada semua:-

Jauhkanlah dirimu dari menuruti jalan kejahatan, sebaliknya laluilah jalan orang soleh. Jadikanlah Ramadan kali ini, Qiyam kali ini, zikir dan tasbih pada Ramadan kali ini, bacaan Al-Quran dan mendengarkan bacaannya pada Ramadan kali ini, jadikanlah kesemua itu bekalan berpanjangan bagi menempuh sebelas bulan yang mendatang. Penuhilah bateri tenagamu pada bulan Ramadan agar memberi kamu manfaat sepanjang tahun. Sekiranya kamu gagal berbuat demikian, maka kamu akan keluar dari Ramadan dengan bateri yang kosong. Alangkah sia-sianya jika tidak memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadan ini, alangkah sia-sianya jika tidak dimanfaatkan tempoh masa Ramadan ini. Wahai saudaraku sekalian, berapa ramai kenalan dan kaum kerabat kita yang masih hidup pada Ramadan yang lepas dan kini telah wafat pada Ramadan kali ini. Demikianlah kita mengucapkan selamat tinggal buat para kekasih dan kenalan kita, kerana inilah dunia, di mana semuanya hidup dan pasti bertemu kematian. Semuanya akan binasa termasuklah hari-hari kehidupan. Setiap yang mempunyai permulaan akan menemui pengakhiran. Dia yang tiada awal dan akhir bagiNya adalah Allah swt di mana Allah berfirman

{هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ} [الحديد:3]

 “Dia lah yang awal dan akhir, yang zahir dan yang batin, dan dia lah yang pada sekalian perkara Maha Mengetahui” (Al-Hadid ayat 3) Kita tiada mempunyai sebarang daya upaya melainkan berdoa kepada Allah Tabaraka wa Taala agar mengeluarkan kita dari bulan ini dengan pengampunan dan rahmat serta pembebasan dari api neraka, dan agar Dia menutup riwayat hidup kita dengan kebahagiaan, keimanan, dan penerimaan, dan menjadikan hari kita lebih baik dari kelmarin, hari esok lebih baik dari hari ini, dan agar Dia menguatkan Islam dan menjadikan Kalimat Islam yang tertinggi, dan agar Dia membantu saudara kita yang berjihad di Palestin, Iraq, dan pada tiap tempat, dan agar Dia menyelamatkan saudara kita yang ditindas dan diuji pada tiap tempat, dan agar Dia menjadikan kesusahan yang menimpa ummah ini menjadi kemudahan, dari kegelisahan menjadi kelegaan, dari kesempitan menjadi keluasan, dan menjadikan urusan kita sentiasa diberi panduanNya.

{رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ} [آل عمران:147]

“Wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami dan tindakan melampaui batas pada urusan kami, dan tetapkanlah pendiriankami serta bantulah kami menghadapi orang yang kafir” (Ali Imran ayat 147).

{رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ} [التحريم:8]

“Ya Allah sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan ampunilah kami sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu” (At-Tahrim ayat 8). Ya Allah perkenankanlah doa kami, dan sampaikanlah Ya Allah selawat dan salam ke atas hambaMu dan NabiMu Muhammad dan juga kepada ahli keluarganya, para sahabatnya. Wassalamualaikum warahmatullah

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi rahimahullah

Terjemahan oleh Al-Rupawani

Link artikel asal:-

https://www.al-qaradawi.net/node/2454

Comments