Islam menafikan pembangunan?

 Islam menafikan pembangunan? 



Kadangkala dan ada sekali sekala kita melihat segelintir orang Islam mengalami alergik dengan terma pembangunan, atau memandang sinis sebuah model negeri atau negara yang membangun dan memberikan kemudahan secukupnya kepada rakyat, bahkan ada yang menganggap pembangunan ini tiada makna jika islam tidak terjaga.. 

Persoalannya, adakah Islam itu bukan suatu pembangunan dan Islam dan pembangunan ini suatu benda yang berbeza? 

Ayuh kita rujuk kepada dalil utama agama kita iaitu Al-Quran, dan untuk mengelak tohmahan masyarakat bahawa ini semua usaha menggoreng maka kita rujuk pula apa syarahan ulama tafsir muktabar berkaitan.

Kita rujuk ayat 61 Surah Hud

{ ۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَـٰلِحࣰاۚ قَالَ یَـٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَـٰهٍ غَیۡرُهُۥۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ وَٱسۡتَعۡمَرَكُمۡ فِیهَا فَٱسۡتَغۡفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوۤا۟ إِلَیۡهِۚ إِنَّ رَبِّی قَرِیبࣱ مُّجِیبࣱ }

[Surah Hūd: 61]

Dan kepada kaum Samud (Kami utus) saudara mereka, Sālih. Dia berkata, “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada bagimu tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Dia telah menciptakanmu dari bumi (tanah) dan menjadikanmu sebagai pemakmurnya,karena itu mohonlah ampunan kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku sangat dekat (rahmat-Nya) dan memperkenankan (doa hamba-Nya).”

Dari ayat di atas, kita dapat memahami asal usul kejadian kita dan misi kita untuk mengimarahkan bumi Allah ini. Lalu apa maksud imarah? 

Imam Qurtubi dalam Tafsirnya menyenaraikan pandangan ulama berkenaan tafsir tersebut,antaranya adalah berikut:-

(وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيها) أَيْ جَعَلَكُمْ عُمَّارَهَا وَسُكَّانَهَا

Yakni : Dia menjadikan kamu sebagai orang yang membangunkan muka bumi dan menetap di atasnya

وَقَالَ قَتَادَةُ: أَسْكَنَكُمْ فِيهَا،

Berkata Qatadah : Menjadikan kamu menetap di atas muka bumi

 وَقَالَ الضَّحَّاكُ: أَطَالَ أَعْمَارَكُمْ

Berkata Dhahhak : Dia memanjangkan umur kamu

ابْنُ عَبَّاسٍ: أَعَاشَكُمْ فِيهَا. 

Berkata Ibnu Abbas : Dia menjadikan kamu hidup di atas muka bumi

زَيْدُ بْنُ أَسْلَمَ: أَمَرَكُمْ بِعِمَارَةِ مَا تَحْتَاجُونَ إِلَيْهِ فِيهَا مِنْ بِنَاءِ مَسَاكِنَ، وَغَرْسِ أَشْجَارٍ.

Berkata Zaid bin Aslam : Dia menyuruh kamu membangunkan muka buminya dengan perkara2 yang kamu berhajat kepadanya seperti bangunan,kemudahan tempat tinggal, dan pertanian. 

 وَقِيلَ: الْمَعْنَى أَلْهَمَكُمْ عِمَارَتَهَا مِنَ الْحَرْثِ وَالْغَرْسِ وَحَفْرِ الْأَنْهَارِ وَغَيْرِهَا

Berkata sebahagian ulama : Dia memberi ilham kepada kalian untuk membangunkan muka bumiNya dengan pertanian, pengairan dan selainnya

قَالَ بَعْضُ عُلَمَاءِ الشَّافِعِيَّةِ: الِاسْتِعْمَارُ طَلَبُ الْعِمَارَةِ، وَالطَّلَبُ الْمُطْلَقُ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْوُجُوبِ

Berkata sebahagian Ulama Mazhab Syafie : Isti'mar pada ayat tersebut adalah tuntutan Allah kepada manusia untuk membangunkan muka buminya, dan tuntutan Allah itu membawa maksud wajib ke atas manusia. 

Lalu Imam Qurtubi juga memberi tafsirannya selepas berbahas tentang sighah lafaz Isti'mar :-

فَقَوْلُهُ تَعَالَى: ﴿اسْتَعْمَرَكُمْ فِيها﴾ خلقكم لعمارتها"،

Maka lafaz ist'mar pada ayat tersebut membawa maksud "Dia menjadikan kalian agar kalian membangunkan muka buminya".

Al-Imam Tahir ibn Asyur menyebut dalam Kitab Tahrir dan Tanwirnya berkenaan ayat Surah Hud di atas:

والِاسْتِعْمارُ: الإعْمارُ، أيْ جَعَلَكم عامِرِيها، فالسِّينُ والتّاءُ لِلْمُبالَغَةِ كالَّتِي في اسْتَبْقى واسْتَفاقَ. ومَعْنى الإعْمارِ أنَّهم جَعَلُوا الأرْضَ عامِرَةً بِالبِناءِ والغَرْسِ والزَّرْعِ لِأنَّ ذَلِكَ يُعَدُّ تَعْمِيرًا لِلْأرْضِ حَتّى سُمِّيَ الحَرْثُ عِمارَةً لِأنَّ المَقْصُودَ مِنهُ عَمْرُ الأرْضِ.

Isti'mar itu bermaksud : Dia menjadikan kalian sebagai orang yang bertanggungjawab untuk membangunkan muka bumi Allah dan perkataan sin dan ta' pada lafaz Isti'mar adalah suatu Sighah Mubalaghah.  Justeru makna ayat itu adalah

Manusia itu dituntut untuk membangunkan muka bumi Allah dengan binaan bangunan, pertanian, dan tanaman, kerana itu dianggap suatu takmir atau membangunkan muka bumi ini hatta pertanian pun dianggap sedemikian kerana ia turut membangunkan tanah dan juga muka bumi. 

Fahamlah disini bahawa manusia dicipta Allah untuk menjalankan pembangunan di atas muka bumi Allah, menyediakan pada bumi ini perkara yang perlu dan dihajatkan oleh manusia dari sudut ekonominya, agriculture, pertanian, pengairan, kemudahan tempat tinggal dan segala kemajuan yang dapat memenuhi hajat keperluan manusia. 

Atas dasar inilah, Rasulullah saw menggalakkan para sahabat membeli telaga رومة untuk diwakafkan kepada ummat Islam kerana apabila para Muhajirin tiba ke Madinah, mereka menghadapi masalah bekalan air dan caj telaga رومة Yang dikenakan pula sangat mahal. 

Maka datanglah Saiduna Uthman bin Affan membeli telaga رومة di mana Rasulullah saw menjanjikan kepadanya telaga syurga kelak, lalu diwakafkanlah air telaga yang penuh segar itu buat kemudahan Ummat Islam. (rujuk Al-Bidayah Wan Nihayah oleh Ibnu Kathir dan Mu'jam Al-Tabrani) 

Tuntasnya, pembangunan yang membahagiakan dan memudahkan kehidupan manusia adalah tuntutan Islam!.


Coretan dua puluh sen:-

Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani

Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie

Comments